Thursday, November 16, 2006

Ragbi SMSJ Kluang Bawah 15 Johan Johor


Pasukan ragbi SMSJ Kluang telah muncul johan peringkat negeri dalam Kejohanan Ragbi KRM/ Milo/ MSSM Negeri Johor pada 3 Nov 2006 di Muar, Johor. Pasukan ini telah mengalahkan pasukan Sekolah Menengah Air Tawar, Kota Tinggi dengan kelebihan 1 try pada perlawanan akhir. Dengan ini, mereka akan mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung di Melaka pada 17-19 November ini. Pasukan ini dilatih oleh Cikgu Hassim Markom dan Cikgu Zafean Zainuddin dan pengurusnya ialah Cikgu Sahnizam. Tahniah dan semoga terus berjaya memartabatkan SMSJ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Wednesday, November 15, 2006

REKACIPTA GLIDER : R & D SMESH


KOTA KINABALU – Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) Kota Kinabalu telah menganjurkan Pertandingan Reka Cipta Glider pada 7 November 2006 sebagai satu daripada aktiviti dalam Program Penggalakkan Budaya Penyelidikan dan Pembangunan
(R & D) oleh Sektor Sekolah Berasrama Penuh bagi murid lepasan PMR 2006. Program ini melibatkan semua pelajar tingkatan tiga. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti R & D, di samping meningkatkan minat pelajar dalam bidang R & D. Kebanyakan peserta dapat menerangkan dengan tepat prinsip yang digunapakai untuk membina model glider, serta pengubahsuaian yang diperlukan untuk membolehkan glider terbang dengan lebih lancar. Pelajar-pelajar diberi pendedahan kepada proses menjalankan penyelidikan pada peringkat lebih awal. Adalah diharapkan bahawa kerja berpasukan dan minat pelajar yang ditunjukkan dalam pertandingan ini dapat dikekalkan dan diperkukuhkan pada masa depan. Dicadangkan supaya masalah yang merangkumi konsep Kimia dan Biologi dikemukaan pada tahun-tahun berikutnya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan kerana memberi ruang dan masa kepada pelajar-pelajar tingkatan tiga serta guru-guru yang terlibat dalam melaksanakan dan menjayakan program ini.


Disediakan oleh
Madsarin Rahim
PK Koku SMESH.

Thursday, November 09, 2006

ASiS MENGGEGARKAN TIMES SQUARE



05.11.06- Bakal jurutera F 1 ASiS mengharumkan nama SBP setelah layak menduduki 4 pasukan terbaik peringkat akhir dalam Pertandingan ' F1 In School ' yang diadakan di Berjaya Times Square.Dengan berkat doa semua warga ASiS dan kesungguhan guru pengiring En. Badrul Hisham Ibrahim dan En. Ahmad Sabiren Ahmad Bashah ASiS berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan tersebut.Dalam pertandingan akhir ASiS telah mengalahkan SMK Taman Melawati iaitu pemegang rekod dunia tahun lepas di England.Pasukan F1 ini diwakili oleh pelajar-pelajar Tingkatan 4 terdiri daripada Kapten Khairul Asyraf Khalid,Ahamd Naeem Ahmad Niran,Syazwi Mazli dan Syed Hamime Fakiri Syed Mohammad.Pasukan ini ditaja oleh badan-badan korporat seperti MSC, Mdec ,Perodua dan pihak-pihak lain yang sudi memberikan tajaan.ASiS merupakan SBP yang pertama melayakkan diri ke peringkat akhir.Keputusan pertandingan ASiS mendapat naib Johan dalam kategori kereta terpantas dengan catatan masa 1.108 saat.ASiS juga telah mendapat tempat ke tiga keseluruhan dalam pertandingan ini.Sekian,terimakasih.
PK KOKO

MAJLIS MAKAN MALAM NOSTALGIA ABADI III



08.11.06 - Majlis Makan Malam Nostalgia Abadi III telah diadakan di Dewan Tun Hussein Onn , PWTC pada jam 8.15 malam.Majlis ini telah dihadiri oleh Datin Wira Sharifah Latifah Al Haddad sebagai tetamu kehormat isteri kepada Pengerusi yayasan Pendidikan Cheras, Kuala Lumpur. Majlis ini antara lain bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan mengambil peperiksaan SPM dan guru-guru ASiS.Dalam majlis ini beliau telah memberikan insentif kepada pelajar-pelajar yang bakal menghadapi SPM di mana pelajar yang mendapat ' straight A ' akan mendapat RM 300.00 seorang.Kelab Guru pula menerima sumbangan sebanyak RM 5000.00 untuk kegiatan guru-guru ASiS.Majlis ini turut dihadiri oleh beberapa orang pengetua SBP Zon Tengah serta wakil PIBG.
PK KOKO

Wednesday, November 08, 2006

SAMBUTAN HARI RAYA SM SAINS ALAM SHAH KL



07.11.06 - Sekolah SM Sains Alam Shah telah menganjurkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri bertempat di Tapak Perhimpunan SM Sains Alam Shah.Turut menghadiri sambutan ini ialah Pengerusi PIBG iaitu Y. Bhg.Datuk Prof. Dr. Sukiman Bin Sarmani ,pengetua , guru-guru dan staf sokongan SM Sains Alam Shah.Keistimewaan sambutan ini adalah di mana guru-guru dan staf sokongan telah bergotong royong memasak makanan untuk para jemputan dan pelajar-pelajar dan ini secara tidak langsung telah mengeratkan hubungan di kalangan warga SM Sains Alam Shah.
Sekian.terima kasih.
PK KOKO

Tuesday, November 07, 2006

PELAJAR SMSJ KLUANG CIPTA SEJARAH TAWAN PUNCAK KINABALU




Pada tanggal 1 November 2006 (Rabu), 4 orang pelajar SMSJ Kluang dan seorang guru pengiring telah berjaya mengibarkan bendera SMSJ di puncak Kinabalu iaitu Low's Peak (4025m). Mereka terdiri daripada Mohd Shukry b Zainuddin, Nurul Suriati bt Sapiee, Ruby Pricilla a/p Thongamaney dan Amirah Raihana bt Harris Fadzillah (semuanya pelajar Tingkatan 4) serta Penolong kanan Kokurikulum SMSJ En Hamizer b Mohd Sukor.

Walaupun dalam keadaan keletihan dan kesejukan yang teramat (4 C), dengan iringan doa daripada guru dan pelajar SMSJ dapatlah juga kami tiba ke puncak dan menyaksikan kebesaran Illahi dari puncak tertinggi di Malaysia itu.

Kami ingin mengucapkan terima kasih atas iringan doa dan dokongan moral oleh semua pihak terutamanya daripada Pengetua SMSJ sendiri iaitu Tuan Haji Nojumuddin b Abd Samad. Tidak ketinggalan juga terima kasih atas bantuan kewangan yang disumbangkan oleh pihak SAJOHA (Persatuan Bekas Pelajar SMSJ), PIBG, Kelab Bilik Guru SMSJ (terutamannya kepada En Sahnizam b Miswan ,Pengerusi KEBIRU 2006 yang turut mengiring ekspedisi ini), Lembaga Koperasi Sekolah serta beberapa syarikat swasta yang memungkinkan program ini dilaksanakan dalam keadaan tersusun. Juga terima kasih kami kepada pihak Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu yang menyediakan penginapan dan makan minum peserta selama 2 hari serta layanan yang sungguh mengkagumkan terutamanya dari pihak Pengetuanya sendiri. Terima kasih juga kepada pihak JohorFM yang telah menyiarkan liputan secara langsung daripada puncak.

Insya-Allah tahun depan aktiviti pendakian yang lebih mencabar akan kita sediakan bagi pelajar SMSJ.

Monday, November 06, 2006

RAGBI ANTARA KELAS SASER!

SASER 4 Nov. Kejohanan Ragbi Antara Kelas bagi merebut Piala Juara Kelas telah dijalankan baru-baru ini. Kejohanan ragbi ini merupakan program tahunan selepas peperiksaan akhir tahun tingkatan empat. Penyertaan yang terdiri daripada sepuluh kelas tingkatan empat mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pertandingan yang bermula dari lapan pagi dan berakhir pada jam enam petang, dibahagikan kepada tiga kategori iaitu plate, bowl dan cup. Keputusan kejohanan ini ialah bagi johan kategori plate ialah 4 Delta, sementara johan kategori bowl, ialah 4 Theta dan Johan cup adalah 4 Iota. Hadiah telah disampaikan pada petang itu oleh PK Hem, En. Norazhar B. Mohd Shah.




Disediakan oleh
Norhaliza Bt Hashim
PK Koku SASER.

Sunday, November 05, 2006

STF CEMERLANG DI KEJOHANAN MEMANAH SBP

Intan Shafiqah Rahmat, Tingkatan 1 Feminin berjaya mengharumkan nama Sekolah Tun Fatimah apabila memenangi 3 pingat emas dan 1 pingat perak di Kejohanan Memanah SBP Bawah 14 Tahun kali pertama yang telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Kajang, Selangor pada 2 - 5 November 2006 yang lepas. Kejayaan ini membolehkan beliau terpilih sebagai Peserta Individu Terbaik Kategori Perempuan. Seluruh warga Sekolah Tun Fatimah amat berbangga dan mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut.

MOHD. AZMAN BIN AWANG
PK KOKURIKULUM
SEKOLAH TUN FATIMAH

Friday, November 03, 2006

MAJLIS RANTAIAN KASIH SASER

SASER 30 Oktober. Sekolah Menengah Sains Seremban telah menganjurkan Majlis Rantaian Kasih yang merupakan program tahunan sekolah ini. Majlis yang diadakan bermula jam 8.30 malam pada 30 Oktober yang lalu ini merangkumi pelbagai majlis yang disatukan seperti jamuan hari raya aidilfitri, hari raya deepavali, majlis perpisahan PK HEM, sambutan hari jadi warga saser dan jamuan kediaman asrama. Konsep majlis pada malam itu adalah berbentuk gerai di mana sebanyak sepuluh buah gerai dengan pelbagai juadah disediakan untuk pelajar-pelajar memilih makanan yang digemarinya. Tetamu dan warga SASER pada malam itu dihiburkan dengan persembahan penari dan penyanyi di kalangan warga SASER sendiri. Tetamu Kehormat pada malam itu ialah En. Shafizul Bin Mohamad (SBP).
Disediakan oleh
Norhaliza Bt Hashim
PK Koku SASER

PROGRAM 3R SASER

SASER 7 Oktober. Pada bulan Ramadhan baru-baru ini bagi menyemarakkan lagi bulan yang mulia ini, Kelab Remaja Jemaah Islah Malaysia dengan kerjasama Persatuan BADAR SASER telah menganjurkan Program 3 R iaitu Remaja Raikan Ramadhan. Program 3R ini telah diadakan dua hari iaitu pada 7 dan 8 Oktober 2006.
Antara pengisian program ini adalah :-
1. Program Ice Breaking oleh Dr Khairil Osman dan Encik Mohd Azhan Jamiran
2. Sirah di Bulan Ramadhan oleh Ustaz Abdul Rahim Yusof
3. Program Qiamullail & Kuliah Subuh oleh Tuan Hj. Ir Jamil B. Ibrahim
4. Forum: Membina Jati Diri Profesional Muslim oleh Tn Hj Mohamad
Kamaludin B. Taib, Dr. Hj Zainol Rashid dan Prof Madya Badli Shah Sham.
Perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh pengetua SASER Tn. Haji Mohamad Kamaludin B. Taib. Semoga program ini mendatangkan keinsafan kepada para pelajar dan dapat membentuk menjadi muslim yang sejati.
Disediakan oleh:
Norhaliza Bt Hashim
PK Koku SASER