Thursday, September 30, 2010

SSP MENYERTAI "ENO TREE PLANTING DAY 2010"

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya untuk kali pertamanya menyertai beribu-ribu buah sekolah di seluruh dunia menyertai "ENO TREE PLANTING DAY" pada Selasa, 21 September 2010. ENO atau Environment Online memilih 21 Mei dan 21 September setiap tahun untuk mempromosikan dan memupuk kesedaran dalam kalangan murid-murid sekolah di seluruh dunia akan kepentingan menjaga alam sekitar dengan cara menanam seberapa banyak pokok untuk menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang dan dimusnahkan oleh manusia sendiri atas nama pembangunan dan kehidupan sejahtera. ENO berazam untuk mengembleng tenaga generasi muda di 150 buah negara di seluruh dunia untuk mencapai sasaran menanam 100 juta pokok menjelang 2017. Kelab UNESCO SSP Cyberjaya terpanggil untuk turut serta bersama-sama ratusan ribu murid yang lain untuk menjamin kelestarian alam sekitar. Tarikh 21 September juga merupakan tarikh yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai "Hari Keamanan Sedunia". Majlis perasmian dan penanaman pokok yang bermula pada jam 4.00 petang dirasmikan oleh En Ab Aziz Mamat, Penolong Kanan (Kokurikulum) dan disertai oleh 64 orang ahli Kelab UNESCO SSP Cyberjaya bersama-sama guru Penasihat iaitu Pn Adzuhaidah M. Taha dan Puan Zainuriah Zainuddin. Program ini akan dijadikan acara tahunan Kelab UNESCO SSP Cyberjaya.

"ENO TREE PLANTING DAY : PEACE IS GREEN"

Laporan ISSF 2010 di Adelaide, South Australia

ni laporan asis ke ISSF di Adelaide, South Australia
TQ

Wednesday, September 29, 2010

MAJLIS PERLANTIKAN KEPIMPINAN PENGAWAS SSP 2010/2011

Kepimpinan tertinggi Lembaga Pengawas Sekolah Seri Puteri Cyberjaya sesi 2009/2010 menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada kepimpinan baru sesi 2010/2011 dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Perdana Puteri pada Isnin, 27 September 2010. Peralihan tampuk kepimpinan Lembaga Pengawas ini bertujuan memberikan ruang dan kesempatan kepada Pengawas Tingkatan Lima menumpukan perhatian dan komitmen sepenuhnya untuk mempersiapkan diri menghadapi Peperiksaan SPM yang bakal tiba. Sijil Penghargaan kepada 63 orang pengawas tingkatan lima disampaikan oleh Puan Hajah Rashidah Md Arif, Pengetua Cemerlang. Selain perlantikan Jawatankuasa Tertinggi Pengawas (Top 5), turut dilantik ialah Pengerusi Biro. Kepimpinan tertinggi pengawas sesi 2010/2011 adalah seperti berikut :-

Ketua Murid - Nur Amalina Bt Mohd Taib

Pen. Ketua Murid - Farah Adlina Bt Hamdan

Setiausaha - Nur Ashiqin Bt Mohd Azlan Shah

Naib Setiausaha - Nur Amiratul Ainaa Bt Zulkifli

Bendahari - Siti Norfarahhanim Bt Mohd Ghani

Jawatankuasa Biro adalah seperti berikut :-

  • Biro Disiplin : Nurainaa Ayuni Bt Ahmad - 4U
  • Biro Protokol : Nur Anis Bt Bunyaimi - 4U
  • Biro Sekretariat : Muneeba Ubaidi Bt Hishamuddin - 4E
  • Biro Dewan Makan : Nur Syafiqah Bt Mohd Fuad - 4I
  • Biro Puteri : Jaslin Sofea Bt Mohd Jalil - 4P
  • Biro Kebajikan : NurHasdyanna Bt Hasnurrashid - 4E
  • Biro Kokurikulum : Anis Farhana Bt Mohd Ripin - 4T
  • Biro Dobi : Jaslinda Bt Jamaluddin - 4U
  • Biro Kerohanian : Nur Amirah Bt Ahmad Zamli - 4U
  • Biro kebersihan : Nurul Asmida Bt Mohd Latfi - 4T
  • Biro Asrama : Nurhidayah Bt Abdullah - 4R
  • Biro ICT : Fatimah Nadiah Bt Mohd Hisham - 4U

Tuesday, September 28, 2010

SUMBANGAN ZAKAT BANK RAKYAT

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menyumbangkan bantuan zakat perniagaan Bank Rakyat (tahun 2009) kepada 180 orang murid Tabung Talian Kasih, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya. Murid yang terpilih menerima sumbangan zakat dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100.00 bagi setiap murid. Sumbangan Zakat bernilai RM18,000.00 telah disampaikan oleh Y.Bhg. Datuk Kamaruzzaman Che Mat, Pengarah Urusan Bank Rakyat kepada En Ab Aziz Mamat yang mewakili Sekolah Seri Puteri dalam Majlis Sambutan Hari Raya Bank Rakyat Putrajaya pada Selasa, 28 September 2010. Bank Rakyat telah menyumbangkan dana zakat bernilai RM265,000.00 sejak tahun 2004 kepada murid-murid Sekolah Seri Puteri Cyberjaya. Pentadbiran, PIBG Sekolah Seri Puteri dan warga Sekolah Seri Puteri Cyberjaya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Y.Bhg. Datuk Pengarah Urusan Bank Rakyat, En Ramlan Harun (Pengurus Cawangan Putrajaya) dan warga kerja Bank Rakyat Putrajaya atas kesudian menyumbangkan zakat kepada 180 orang murid Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.


Program Memasyarakatkan Sekolah Dengan Masyarakat Sekitar

Para pelajar STAR, Ipoh bergambar kenang-kenangan bersama AJK Surau Al-Ehsan di Taman Endah Jaya, Ipoh

Rabu, 1 September 2010 - Majlis berbuka puasa dan gotong -royong pelajar STAR yang terdiri daripada AJK BADAR bersama ahli kariah Surau Al-Ehsan di Taman Endah Jaya, Ipoh telah dilaksanakan dengan jayanya. Majlis yang mendapat kerjasama penuh pihak AJK Surau Al-Ehsan, Taman Endah Jaya dimulakan dengan ucapan selamat datang oleh wakil pihak Surau iaitu Cikgu Omar yang juga merupakan bekas Guru STAR awal 1980 an. Selepas itu majlis diteruskan dengan bacaan tahlil oleh Ustaz Rosman. Selepas itu, para pelajar dan penduduk taman berbuka puasa dengan juadah ringan dahulu. Seterusnya semua bersolat maghrib secara berjemaah dan setelah selesai solat para pelajar dihidangkan jamuan nasi beriani berlaukkan ayam kurma yang sangat menyelerakan. Apa yang sangat menariknya di sini para pelajar dihidang dengan jamuan di dalam talam mengikut sunnah Rasulullah dan mereka makan dengan penuh selera sekali. Seterusnya para pelajar bergotong-royong bersama ajk surau. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membasuh talam dan periuk serta membersihkan kawasan surau. Apabila waktu Isyak masuk,para pelajar solat Isyak dan juga solat tarawih secara berjemaah dengan diimamkan oleh saudara Muhammad Azri bin Kamaruddin. Selesai solat, majlis diteruskan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Cikgu Nazmi bin Md Noor (Pegawai Bahagian Psikologi dan Kaunseling KPM Putrajaya).Majlis di akhiri dengan ucapan terima kasih oleh Ust. Ahmad Tanusi selaku Penasihat Program.













Monday, September 27, 2010

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Sambutan Hari Lahir peringkat sekolah pada Sabtu, 25 September 2010 mulai jam 10.30 pagi hingga 1.00 tengahari bertempat di Dewan Makan. Tetamu jemputan khas ialah Puan Faridah Yang, KPP Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, KPM. Yang turut hadir ialah AJK PIBG, Alumni SSP dan juga guru serta staf SSP. Majlis dimeriahkan dengan persembahan murid-murid dan nyanyian karaoke lagu-lagu bertemakan hari raya.  Pentadbiran SSP merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Jawatankuasa PIBG, Jawatankuasa Alumni SSP, para jemputan dan semua pihak yang hadir memeriahkan majlis.

PERSIDANGAN VIDEO DENGAN SMK BUKIT PASIR





Sekolah Seri Puteri Cyberjaya mengadakan Persidangan Video dengan SMK Bukit Pasir, Muar, Johor bersempena lawatan YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Hj Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ke SMK Bukit Pasir untuk taklimat Fiber To The School (FTTS) oleh Telekom Malaysia pada Sabtu, 25 September 2010 mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Puan Asmiza Minoh, Guru Bahasa Inggeris SSP bertindak sebagai Moderator membimbing 100 orang murid SSP di Dewan Kuliah SSP bersama-sama murid SMK Bukit Pasir membincangkan "Kebaikan dan Keburukan Internet kepada Murid". Sesi P&P bermula jam 12.00 tengahari hingga jam 1.00 petang. YAB Tan Sri sempat berkomunikasi dengan murid-murid SSP dan menyaksikan sesi P&P.

PERINGATAN

TERIMA KASIH KEPADA PENOLONG-PENOLONG KANAN KOKURIKULUM SEKOLAH BERASRAMA PENUH, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA YANG TELAH MENYUMBANG BERITA AKTIVITI KEPADA BLOG INI.
DIHARAPKAN KEPADA SEMUA PENOLONG KANAN KOKURIKULM SEKOLAH BERASRAMA PENUH, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SUPAYA TIDAK MENGUBAH APA-APA SETTING YANG TELAH DITETAPKAN OLEH BAHAGIAN DI DALAM BLOG INI KERANA IANYA AKAN MENYUSAHKAN PIHAK BAHAGIAN UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT-MAKLUMAT DI DALAM BLOG INI. DIHARAPKAN JUGA SUPAYA PASSWORD INI TIDAK DIBERIKAN KEPADA ORANG-ORANG LAIN YANG TIDAK BERKENAAN SUPAYA IANYA TIDAK DISALAHGUNA.
KERJASAMA DARIPADA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN AMAT DIPERLUKAN KERANA BLOG INI MENJADI BUKTI UNTUK AKTIVITI-AKTIVITI KOKURIKULUM SBP DAN DIHARAPKAN BLOG INI TIDAK DISALAHGUNA OLEH ORANG-ORANG YANG TIDAK BERKENAAN.
TERIMA KASIH

Thursday, September 23, 2010

SMSSMJ: Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa








Pada tanggal 2 September 2010, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam telah menjalankan Majlis Khatam Al-Quran dan berbuka puasa bersama pelajar bermula jam 4.30 petang bertempat di Surau Al-Falah, SMSSMJ dan Dewan Makan. Majlis dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang di pimpin oleh ustaz Abdul Kadir Talib Mustafa, seterusnya Solat maghrib, Majlis berbuka Puasa dan Solat Sunat terawih berjemaah. Majlis ini juga dihadiri oleh wakil PPD Kuala Muda/yan, guru-guru dan pelajar-pelajar SMSSMJ.

PROGRAM KHATAM AL-QURAN DAN MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA TUAN PENGETUA CEMERLANG STAR, IPOH

Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh melalui peranan yang dimainkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan BADAR telah menjalankan usaha memurnikan jiwa seluruh warganya dengan makanan rohani iaitu Al-Quran. Peranan penting dalam kehidupan seorang muslim ini telah sama-sama dipupuk oleh semua warga sekolah ini. Semoga dengan berlangsungnya program sebegini dapat mendorong semua warga STAR meneruskan amalan memuliakan kitab suci umat Islam sepanjang kehidupan menuju negeri abadi. Fokus pendidikan buat semua pelajar STAR telah berlaku secara menyeluruh kerana tidak hanya menumpukan bidang akademik dan sukan semata-mata, bidang utama hidup seorang pelajar muslim juga telah digarap untuk dicerap buat semua pelajar. Semoga mereka membesar didikan yang menyeluruh.

Tuan Pengetua Cemerlang berucap merasmikan majlis khatam al-Quran pada 25 Ogos 2010 jam 5.30 ptg di Surau Hamdaniah STAR.

Sumbangan derma duit raya dari guru-g uru dan PIBG kepada pelajar yang kurang berkemampuan disampaikan oleh Dato Hj Dawa Bin Abdullah (Mantan Pengarah JPN Pulau Pinang yang juga merupakan bekas pelajar, guru dan Pengetua STAR)

Al Fadhil Ustaz Mokhtar (mantan Guru STAR) menyampaikan tazkirah bertajuk "Nuzul Quran"

Ustaz Asril mengalunkan zikir munajat sebelum berbuka puasa

Tuan Pengetua Cemerlang beramah mesra dengan pelajar STAR sebelum berbuka

Ustaz Asril bersama Tuan Haji Badri PK Ko-Kurikulum memeriahkan suasana khatam quran

Pelajar dan guru bersama menjayakan majlis khatam quran

Wednesday, September 22, 2010

Sambutan Bulan Kemerdekaan STAR, Ipoh 2010


Pada tanggal 25 Ogos 2010, Sekolah Tuanku Abdul Rahman di bawah kelolaan Unit Kokurikulum telah menjalankan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan bagi sesi 2010. Program ini dijalankan secara ringkas tetapi penuh makna dan memberi kesan kepada seluruh warga STAR. Penglibatan guru dan pelajar dalam program bersifat patriotik seperti ini sangat penting supaya semua pihak merasakan tanggungjawab dan hak milik bersama kemerdekaan yang dikurniakan Allah S.W.T. Program ini juga boleh dijadikan instrumen penting dalam pemupukan semangat nasionalisme khusus untuk menyedarkan golongan muda atau generasi pasca kemerdekaan supaya sama-sama menjaga dan mempertahankan kemerdekaan negara kita.

Doa diaminkan bersama memohon agar kemerdekaan yang dikecapi bertahan selama-lamanya.

Tuan Pengetua menyampaikan amanat besar sempena bulan kemerdekaan.

Para pelajar mengibarkan bendera kecil di tangan masing-masing dengan semangat baru generasi pasca merdeka



Monday, September 20, 2010

MAJLIS PENYAMPAIAN ZAKAT & SUMBANGAN AIDILFITRI YAYASAN TUN HAMDAN 2010


Pada 2 September 2010, telah berlangsungnya Majlis Penyampaian Zakat & Sumbangan Aidilfitri Yayasan Tun Hamdan kepada pelajar-pelajar dan anak-anak yatim daerah Kinta. Majlis ini telah berlangsung di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, iaitu antara sekolah yang pernah menerima khidmat Allahyarham Tun sebagai pengetua. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato' Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan, merangkap pengerusi Yayasan Tun Hamdan.


Pada tahun ini, seramai 60 orang penerima telah terpilih iaitu 10 orang pelajar masing-masing dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, SMK Clifford Kuala Kangsar, dan SMK Iskandar Shah, Parit, Lima orang pelajar masing-masing dari SMK Anderson, SMT Ipoh SMK Raja Perempuan, SMK Raja Chulan, Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah. Selain itu juga empat pertubuhan kebajikan/rumah anak yatim turut menerima sumbangan yang telah disampaikan oleh YB Dato' Dr Awang Adek Hussin. Pertubuhan yang terlibat ialah Badan Khidmat Islam Perak, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin Chemor, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim / miskin Dahikmah, dan Pertubuhan Baitul Aini Anak-anak Yatim dan Warga Miskin Ipoh. Semoga segala usaha yang dilakukan oleh pertubuhan seperti Yayasan Tun Hamdan akan memberi motivasi berterusan kepada semua pihak supaya membudayakan amalan menyumbang kepada yang memerlukan dan memupuk nilai kasih sayang dalam masyarakat di negara kita.


Antara tetamu kehormat yang hadir, Y.Bhg Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah, Ketua Polis Perak, Encik Said Manap, PPD Kinta Utara, Y.Bhg Dato Adinan bin Maning, Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional dan Y.Bhg Dato' Ahmad Tajeri, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Tun Hamdan.


Y.B Senator Dato' Dr Awang Adek sedang menyampaikan sumbangan kepada pelajar terpilih.


Para penerima daripada sekolah-sekolah terpilih bergambar kenangan bersama tetamu kehormat.


Y.B Senator Dato' Dr. Awang Adek membetulkan tali leher salah seorang penerima..