Friday, August 21, 2009

KARNIVAL INOVASI SAINS DAN TEKNOLOGI KEBANGSAAN 2009


Karnival Inovasi Sains dan Teknologi peringkat kebangsaan kembali lagi dengan tema 'Sains, Inovasi dan Teknologi untuk Masyarakat'.Pada tahun ini giliran negeri Perlis menjadi tuan rumah .Karnival yang telah berlangsung bermula 10 Ogos sehingga 13 Ogos 2009 telah mengumpulkan peserta-peserta yang telah menang di peringkat negeri. Diantara SBP yang turut memberi saingan ialah Kolej Tunku Kurshiah, SMS Sultan Mohamad Jiwa, SMS Raja Tun Azlan Shah, SBPI Temerloh, SMS Machang, SMS Seremban, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Sultan Alam Shah, SMS Pasir Puteh, SMS Tuanku Syed Putra, SMS Tengku Mohamad Faris Petra dan SMAP Labu.


Karnival tersebut telah menganjurkan pertandingan :

i. Pertandingan EUREKA REE kategori Sekolah Rendah.
ii. Pertandingan Bercerita Sains Tahap Satu Sekolah Rendah

iii. Pertandingan Saintis muda Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah

iv. Pertandingan Dapur Solar

v. Pertandingan Kereta Solar

vi. Pertandingan Bot Solar

vii. Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket

viii. Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi

berkumpulan dan individu



Karnival yang diadakan selama 3 hari berjalan dengan lancar dan jayanya. Karnival dimeriahkan dengan kehadiran Kerabat Diraja Perlis iaitu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail , DYTM Raja Muda Perlis dan isteri DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai perasmi Majlis Penutupan yang diadakan di Dewan Institut Pendidikan Guru Malaysia, Perlis.


Tahniah kepada SBP yang telah memenangi pertandingan yang disertai. Kepada SBP yang lain cuba lagi pada tahun akan datang. Semoga usaha yang dilakukan mendapat hasil yang lebih baik daripada tahun ini.


Berikut adalah senarai SBP yang telah memenangi pertandingan yang disertai.

1. Kolej Tunku Kurshiah - Tempat pertama dalam Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi (berkumpulan)

2. SMS Sultan Mohamad Jiwa -Tempat pertama dalam Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi (individu)

3. SMS Kuala Selangor - Tempat kedua dalam Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi (individu)

4. SMS Machang- Tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi (individu)

5. SMAP Labu- Tempat ketiga dalam Pertandingan Saintis Muda








Wednesday, August 19, 2009

White Water Rafting di Sungai Kiulu











































Program Penolong Kanan Kokurikulum kemudiannya diteruskan lagi dengan program berkayak di Sungai Kiulu. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sungai Kiulu ini mengambil masa hampir 3 jam dan mengikuti jalan yang berliku untuk sampai di permulaan tempat berkayak.
Sejurus tiba di permulaan berkayak, kumpulan Penolong Kanan Kokurikulum tidak sabar-sabar untuk memulakan ekspedisi. Ekspedisi kali ini mengambil masa hampir setengah hari yang akan membawa mereka menyusuri Sungai Kiulu yang indah ini melalui perkampungan dan kawasan yang menghijau yang dapat mendamaikan jiwa.

Difahamkan juga semasa ekspedisi, terdapat beberapa orang Penolong Kanan Kokurikulum yang berhadapan dengan situasi yang mendebarkan apabila terjatuh dari kayak dan hampir lemas. Sungguhpun begitu, dengan kecekapan jurulatih dan rakan-rakan, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ini juga menunjukkan bahawa Penolong Kanan Kokurikulum mampu melakukan aktiviti lasak seperti murid-murid mereka dan murid-murid tidak boleh mengatakan mereka tidak mampu apabila guru-guru mereka juga mampu melakukan aktiviti-aktiviti lasak ini.

Aktiviti ini juga menjadi pengalaman yang tidak ternilai apabila kebanyakkan Penolong Kanan Kokurikulum tidak pernah menjalani aktviti ini. Aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama dan setiakawan yang baik di kalangan Penolong Kanan Kokurikulum SBP.

Aktiviti Abseilling PK Kokurikulum SBP





















Pada 24 Julai 2009, Kumpulan Penolong Kanan Kokurilulum telah diberi peluang untuk membuat aktiviti 'abseilling' oleh jurulatih Kem Bina Negara Kundasang yang diketuai oleh Pak Zainal.

Ini merupakan pengalaman yang berharga kepada sesetengah Penolong Kanan Kokurikulum kerana ianya merupakan kali pertama bagi mereka membuat aktiviti ini. Ini adalah untuk menunjukkan bahawa mereka sebagai Penolong Kanan Kokurikulum perlu ada ketahanan dari segi mental dan fizikal.

Dari segi keseluruhannya aktiviti ini telah berjaya mencapai objektifnya dan ianya merupakan isyarat yang jelas bahawa Penolong Kanan Kokurikulum juga boleh terlibat di dalam aktiviti lasak seperti murid-murid juga walaupun jarak umur yang jauh.

Sunday, August 09, 2009

Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009


Pasukan Pancaragam STF telah mewakili Johor dalam Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009 yang telah dijalankan pada 9 Ogos 2009 bertempat di Stadium Perbandanan Pasir Gudang, Johor. Pasukan Pancaragam STF telah meraih Anugerah Emas, Tempat Pertama Persediaan Terbaik dan Tempat Ketiga Colourguard Terbaik. Pasukan pancaragam SMK Sultanah Asma dari Alor Star telah berjaya meraih Johan dalam pertandingan tersebut.

Tuesday, August 04, 2009

Monday, August 03, 2009

Persatuan Geografi SBPI Kubang Pasu Bergerak Aktif


Persatuan Geografi adalah salah sebuah persatuan yang bergerak aktif di SBPI Kubang Pasu (SBPIKP).
Antara aktiviti terkini dan terhebat persatuan ini adalah Eksplorasi Taman Negara 2009 (EKSTEN 2009) yang berlangsung pada awal Julai 2009. EKSTEN 4 hari 3 malam melibatkan aktiviti-aktiviti; berjalan malam di dalam hutan, trekking ke Bukit Terisek, Canopy Walkway, trekking ke Jenut Muda & Lubok Simpon, meneroka Gua Telinga dan menerjah arus jeram di hutan hujan tertua di dunia, Taman Negara Kuala Tahan, Pahang Darul Makmur.
Untuk laporan lanjut dan gambar-gambar menarik, sila klik di sini untuk melayari laman Persatuan Geografi SBPIKP.

Friday, July 31, 2009

Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum SBP- Kundasang, Sabah (Hari Kedua)











Pada hari kedua Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum, peserta telah berkumpul di surau Kem Bina Negara Kundasang sejak jam 4.15 pagi lagi kerana waktu subuh di Kundasang adalah pada jam 4.45 pagi dan ianya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana suhu pada waktu itu begitu sejuk.

Selepas selesai solat subuh berjemaah, peserta dibawa ke Dewan Sri Perdana untuk mendengar Kuliah Subuh dan tayangan video tentang zaman kemerdekaan sehingga jam 6.00 pagi. Selepas tamat Kuliah Subuh, peserta diminta untuk menjalani aktiviti riadah pagi diketuai oleh Pak Zainal di dataran. Berbagai-bagai aktiviti yang menyeronokkan telah dilakukan dan peserta-peserta begitu bersemangat dan bergembira melakukan aktiviti riadah pagi. Kemudian diikuti dengan sarapan pagi.

Selepas menguruskan diri, peserta kembali ke Dewan Sri Perdana untuk mendengar kuliah dari Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, En. Roslan Bin Abdul Latif yang menerangkan tentang Carreer Guidance kepada murid-murid SBP. Ianya perlu dikenalpasti sejak dari bangku sekolah lagi supaya murid-murid dapat mengenalpasti kekuatan-kekuatan yang ada pada mereka yang boleh diaplikasikan pada masa akan datang. Selain itu juga, beliau menerangkan tentang kepentingan IQ, EQ dan BQ. Banyak maklumat dan input yang diberikan yang boleh digunakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum untuk membangunkan sahsiah dan peribadi murid di sekolah. Ini dapat dilakukan kerana Penolong Kanan Kokurikulum merupakan individu yang bertanggungjawab dalam merangka aktiviti luar darjah yang dapat membangunkan potensi dan seseorang itu secara holistik baik dari segi rohani dan jasmani.

Selepas itu, program diteruskan dengan fakta-fakta sejarah yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini oleh En. Idris. Beliau mengupas tentang sejarah penjajahan Melaka dan senario pada masa ini yang boleh dikaitkan dengan masa silam. Banyak maklumat-maklumat baru yang didapati disorok dari umum dan maklumat-maklumat yang beliau berikan mengejutkan banyak pihak dan perbincangan menjadi hangat dengan pandangan yang dilontarkan oleh peserta-peserta. Walaupun begitu, peserta-peserta dan fasilitator membincangkannya dari sudut ilmiah dan matang serta mendapat banyak input darinya.

Selepas itu, Pengarah BTN Negeri Sabah, Datuk Ibrahim Saad memberikan ucapan dan menyampaikan banyak informasi kepada peserta-peserta. Beliau juga menceritajkan tentang sejarah Kem Bina Negara Kundasang dan juga pengalaman beliau semasa menjadi guru pada suatu masa dahulu.

Selepas tamat 3 sesi kuliah, peserta dibawa mengelilingi kawasan sekitar Kem Bina Negara Kundasang pada waktu riadah petang. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh peserta-peserta untuk menikmati keindahan alam di Kundasang ini.

Pada waktu malamnya pula diadakan sessi suaikenal dan aktiviti-aktiviti yang dirangka oleh pihak BTN amat menyeronokkan dan peserta-peserta gembira melibatkan diri mereka dalam aktiviti nyanyian, konduktor muzik dan lain-lain.

Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum SBP- Kundasang, Sabah (Hari Pertama)











Selepas selesai mesyuarat PK Kokurikulum SBP bil 2/2009 di SMESH, rombongan PK Kokurikulum dibawa dengan bas oleh pihak BTN ke Kem Bin Negara Kundasang Sabah pada jam 2 petang 21 Julai 2009.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 2 jam telah mengambil masa hampir 3 jam kerana cuaca yang tidak mengizinkan kerana hujan. Perjalanan merentasi gunung dan jalan yang berliku merupakan cabaran yang pertama yang harus dilalui oleh PK Kokurikulum sebelum tiba di Kundasang. Kem Bina Negara Kundasang yang teletak di tengah-tengah pekan Kundasang merupakan Kem Bina Negara yang tercantik dan unik di Malaysia yang mana lokasinya adalah di atas bukit sejauh 1.7km daripada pekan Kundasang.

Dengan keadaan yang sejuk dan nyaman, dilatari oleh banjaran Gunung Kinabalu dan pekan Kundasang sebagai latar belakang, terpancar wajah kegembiaraan di kalangan PK Kokurikulum kerana mereka merupakan kumpulan yang bertuah yang dapat menjalani Kursus Bina Negara di sini. Kedatangan PK Kokurikulum disambut dengan mesra oleh jurulatih, urusetia dan pegawai Biro Tatanegara.

Sebaik sahaja selesai pendaftaran dan pengurusan diri, kumpulan PK Kokurikulum diberikan taklimat oleh Jurulatih Kanan Kem Bina Negara iaitu Pak Zainal Aripin tentang aspek keselamatan di dalam kem dan penerangan serba ringkas mengenai Biro Tatanegara oleh Timbalan Pengarah En. Fauzi Mohd Jusak.

Selepas itu, kumpulan dibawa terus ke surau untuk menunaikan solah maghrib dan isyak dan selepas itu diteruskan lagi dengan sessi penerangan hingga jam 12.00 malam.

Tuesday, July 21, 2009

MESYUARAT PENOLONG KANAN KOKURIKULUM BIL 2/2009









Mesyuarat Penolong Kanan Kokurikulum Bil 2/2009 telah diadakan pada 20 hingga 21 Julai di SM Sains Sabah (SMESH) dan dihadiri hampir kesemua Penolong Kanan kokurikulum SBP di Malaysia. Mesyuarat tersebut telah berjalan dalam suasana yang mesra dan lancar dan banyak idea dan perkara-perkara berbangkit dapat diselesaikan. Mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah BPSBPSK, Pn. Hjh Norlia Bt Mohd Shuhaili dan pengetua SMESH, Tn Hj Zaini Bin Zair juga sudi meluangkan masa untuk bersama di dalam mesyuarat walaupun baru kembali dari King College, London.

Di dalam mesyuarat ini juga, Penolong Kanan Kokurikulum telah mencadangkan nama-nama tuan rumah untuk kejohanan kebangsaan bagi tahu 2010 untuk diangkat ke Mesyuarat Majlis Pengetua SBP yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti untuk diputuskan. Manakala post mortem untuk kejohanan-kejohanan yang lepas juga dibentangkan supaya mendapat perhatian dan boleh dilakukan penambahbaikan pada tahun-tahun akan daatang.

Mesyuarat ditangguhkan jam 11.30 malam supaya semua PK Kokurikulum dapat merehatkan diri untuk Kursus Bina Negara di Kundasang pada esok harinya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada urusetia SMESH kerana telah bertungkus lumus membantu pihak BPSBPSK menjayakan mesyuarat Penolong Kanan Kokurikulum SBP bil 2/2009.





Wednesday, July 15, 2009

FINALE FESTIVAL WIND ORCHESTRA 2009











Pertandingan Finale Festival Wind Orchestra SBP telah berjaya diadakan di Dewan Pelinari PICC pada 20 Jun 2009. Peringkat awal telah diadakan di Sekolah Menengah Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan Pahang di mana pada julung kalinya ia telah dibuka kepada sekolah-sekolah Kluster. Sebanyak 7 pasukan SBP iaitu MCKK, TKC, Sekolah Sultan Alam Shah Putrjaya, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Dato Abdul Razak Seremban, SM Sultan Abdul Halim Jitra dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh serta satu sekolah Kluster bukan SBP iaitu SMJK Ave Maria Convent telah terpilih dalam pertandingan akhir itu. Buat pertama kalinya pasukan Wind Orchestra SBP yang di pilih dikalangan pelajar SBP dari pasukan yang tidak terpilih ke peringkat akhir telah dibentuk dan turut membuat persembahan dalam festival kali ini. Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan juga telah turut membuat persembahan tarian sewang yang cukup menarik.

Tetamu kehormat majlis kali ini adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin. Majlis turut dihadiri KSU,KPPM,TKSU,TKPPM dan ketua-ketua jabatan serta pengetua-pengetua SBP seluruh negara. Kolej Tunku Kushiah telah mendapat tempat pertama dan naib johan disandang oleh Sekolah Dato' Abdul Razak Seremban. Tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Sultan Abdul Halim Jitra Kedah. Syabas kepada para pemenang dan teruskan usaha anda untuk menyertai pertandingan peringkat dunia pada tahun hadapan. Kepada yang kalah , cuba lagi tahun hadapan.

Monday, July 06, 2009

PERTANDINGAN BAHAS PIALA PERDANA MENTERI KE-36
















Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri telah diadakan di Dewan A, PICC pada 03 Julai 2009 yang lalu. pertandingan Bahas Bahasa Inggeris telah dijalankan pada sebelah pagi dengan tajuk "This House Believes That Bloggers Are A Threat To National Securities" yang telah dimenangi oleh Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang mengalahkan SM Sultan Abdul Halim Shah, Jitra. Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Ashah Bt Samah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster.
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya diwakili oleh Azalia Bt Zaharuddin, Nurul Bainun Bt Ahmad Shafri, Ameera Natasha Moore Bt James Moore dan Nurqamilla Aida Bt Amirudin. Manakalan SM Sultan Abdul Halim, Jitra diwakili oleh Luqman Harith Bin Saifuddin, Mohd Dell Hakim Bin Zulbahri, Nor Adilah Bt Ramli dan Amira Atira Bt Azman. Ameera Natasha Moore Bt James Moore telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris.
Pada sebelah petang, tepat jam 2.30 petang, YB Dr. Hj. Mohd Puad Bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran hadir sebagai tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-36/2009 (Bahasa Malaysia). Dalam ucapannya, YB Dr. Hj Mohd Puad Bin Zarkashi ingin menjadikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ini sebagai siaran lintas langsung dan disiarkan di televisyen seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mahu melihat acara bahas ini diangkat setaraf dengan acara-acara lain. Beliau berpendapat pembahas-pembahas ini merupakan pelapis-pelapis pemimpin negara masa akan datang yang mana beliau juga merupakan bekas pembahas suatu masa dahulu.

Bagi Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia, SM Agama Persekutuan Kajang yang diwakili oleh Hairul Izlan Bin Shamsudin, Mohd Nur Afiq Bin Mohd Yasim, Mohd Rashid Bin Mohd Aminuddin dan Muhammad Akmal Qushayry Bin Ariffin bertemu SM Sains Selangor yang diwakili oleh Mohd Farid Izmer Bin Mohd Fadzil, Mohd Khairul NizamBin Saharuddin, Larry anak Paing dan Azfar Affif Bin Che Kamal dengan membahaskan tajuk "Kuasa Merotan Wajar Dikembalikan Semula Kepada Semua Guru". Bagi Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia SM Agama Persekutuan Kajang telah mengalahkan SM Sains Selangor dan Mod Nur Afiq Bin Mohd Yasim telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Malaysia.

Persembahan selingan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-36 ini telah dipersembahkan oleh SM Sains Seri Puteri yang mempersembahkan tarian etnik, SM Saisn Johor, tarian zapin, SM Agama Persekutuan Kajang, nasyid, SM Sains Muar, "Voice of the Soul" dan Sekolah Pendidikan Khas Vokasional (Cacat Pendengaran) Shah Alam, tarian.

Pada persidangan akhbar selepas pertandingan, YB Dr. Hj. Mohd Puad Bin Zarkashi telah menyatakan bahawa beliau akan mencadangan di dalam mesyuarat pasca kabinet untuk memberikan hadiah biasiswa kepada pemenang-pemenang Pertandinagan Bahas Piala Perdana Menteri pada masa akan datang kerana beliau melihat pertandingan ini merupakan pertandingan yang berperstij dan telah berjalan selama 36 tahun.

Tuesday, June 30, 2009

KEJOHANAN HOKI BAWAH 16 SBP KE-4 TAHUN 2009





























Kejohanan Hoki Bawah 16 SBP ke-4 tahun 2009 telah melabuhkan tirainya pada 28 Jun 2009 lalu dengan SM Sains Raja Tun Azlan Shah telah menjadi johan mengalahkan SM Sains Machang 5-4 penalty flick, Sekolah Tun Fatimah mengalahkan SM Sains Dungun 1-0 gol padang. Tuan rumah bagi kejohanan tahun ini adalah SM Sains Selangor yang mana telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan kejohanan pada tahun ini.

Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee, Pengerusi Yayasan Cheras dalam majlis makan malam rasmi pada 25 Jun 2009 di SM Sains Selangor. Dalam acara tersebut YBhg Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee telah bermurah hati untuk menyumbang RM 10,000.00 dan juga piala iringan untuk dikongsi oleh pasukan-pasukan yang memenangi kejohanan ini. Selain Yayasan Pendidikan Cheras, penaja-penaja lain seperti Carisbrook, Nestle dan PLUS Highway juga telah bermurah hati untuk menyumbangkan pakaian, trofi dan medal, air mineral dan juga minuman MILO sepanjang kejohanan berlangsung.Syabas diucapkan kepada SM Sains Selangor atas usaha untuk mendapatkan penaja-penaja tersebut. Pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian pihak penaja atas sumbangan mereka di dalam kejohanan ini.

Kejohanan ini telah dijalankan di dua padang iaitu Stadium Hoki Kuala Lumpur, Lembah Pantai bagi lelaki dan Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta bagi perempuan. Bagi perlawanan separuh akhir dan akhir kedua-dua kategori diadakan di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.

Perasmian penutupan kejohanan pula telah disempurnakan oleh Puan Hajah Norlia Bt Mohd Shuhaili, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster pada 28 Jun 2009 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.