Sunday, October 10, 2010

SSP MENGANJURKAN MALAM SELINGKAR KASIH (MSK2010)

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan "Malam Selingkar Kasih" Edisi Ke-25 pada Sabtu, 09 Oktober 2010 bertempat di Dewan De Seri Endon, Bangunan Puspanitapuri, Putrajaya. Majlis bermula jam 8.00 malam dan berakhir pada jam 12.00 malam. Tetamu Kehormat MSK2010 ialah Y.Bhg. Puan Ashah Binti Samah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis juga dihadiri oleh Y.Bhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Yang Dipertua PIBG bersama-sama Datin Seri Ismalina Bt Ismail, Puan Jamelah Binti Mansor, Timbalan Pengarah BPSBPSK dan Tuan Ab Rahman Bin Hj Ngit, Pegawai Pelajaran Daerah Sepang. Malam Selingkar Kasih (MKSK2010) agak istimewa berbanding tahun-tahun sebelum kerana MSK2010 merupakan Majlis Sambutan Jubli Perak , edisi ke-25 sejak dimulakan pada tahun Disember 1986 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Acara tahunan ini merupakan acara yang diadakan khusus untuk meraikan murid-murid tingkatan lima yang bakal menamatkan pengajian menengah di Sekolah Seri Puteri, serta acara simbolik penyerahan kembali anak-anak kepada ibu bapa / penjaga masing-masing setelah lima tahun bermukim di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Majlis ini juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa masing-masing serta medan untuk menampilkan bakat, kreativiti, kebolehan dan keanggunan murid-murid yang sinonim dengan imej seorang PUTERI yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga keperibadian dan keyakinan diri yang tinggi.


Majlis bermula pada jam 8.20 malam dengan perarakan masuk puteri-puteri ke pentas dan seterusnya ke meja masing-masing. Ketua Murid SSP, Aina Farzana Mohd Azmi membuka tirai ucapan dengan menyampaikan ucapan terakhir mewakili batch HERMANAS yang menceritakan kisah suka dan duka sepanjang lima tahun di SSP. Ucapan lain disampaikan oleh Puan Hajah Rashidah Md Arif, Pengetua Cemerlang yang mengimbau kembali kecemerlangan HERMANAS dalam bidang akademik dan kokurikulum. Y.Bhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya pula mencabar puteri-puteri HERMANAS untuk terus mengorak langkah mencipta kecemerlangan dan seterusnya mengharumkan nama agama, bangsa dan negara. Puan Ashah Bt Samah pula melontarkan cabaran kepada calon SPM2010 SSP untuk mengorak kejayaan dan kecemerlangan untuk menjadi No1, mengatasi sekolah-sekolah yang lain dalam negara dalam keputusan SPM2010.


Puteri-puteri HERMANAS menampilkan pakaian yang bertemakan pakaian tradisional dari seluruh dunia, dengan penuh gaya dan keanggunan seorang PUTERI SSP. Mereka bukan sahaja memukau hadirin dengan pakaian yang penuh warna-warni tetapi persembahan yang juga mempesonakan. Antara persembahan yang ditampilkan ialah nyanyian lagu Melayu, Inggeris dan Jepun, Persembahan Pancaragam dan Tarian Bollywood dan Tradisional yang dipersembahkan secara duo dan kumpulan. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah "Don't Stop Believing", "Leaving On A Jet Plane" dan "Memori Tercipta". Selain daripada cabutan bertuah, hadiah-hadiah lain yang diberikan antaranya "Miss Best Dress", "Miss Congeniality" dan "Miss One In A Million". Ibu bapa dan hadirin yang berjumlah 700 orang ternyata berpuas hati dengan perjalanan majlis dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan MSK2010.

"Bangunlah puteri oh bangun, harum nama sekolah,

Majulah puteri oh maju, bela bangsa dan negara"

No comments: