Monday, May 03, 2010

Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan kali ke-37 Tahun 2010


SAMURA, 12 MAC 2010 Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan kali ke-37 telah diadakan di SM Sains Muar, Ledang, Johor Darul Takzim bermula 12-15 Mac 2010. Sebanyak 14 buah Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan telah mengambil bahagian iaitu Sekolah Datuk Abdul Razak, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labuan, SBP Integrasi Selandar, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Sekolah Menengah Sains Johor, SBP Integrasi Jempol, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Sekolah Menengah Sains Seremban, Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar, Sekolah Menengah Sains Muar, Sekolah Tun Fatimah dan Kolej Tunku Kursiah dan yang bongsu Sekolah Menengah Sains Rembau.


Tujuan HKSBPZS diadalah adalah untuk meningkatkan mutu permainan bola keranjang dalam kalangan pemain SBP Zon Selatan selain mengenal pasti pemain-pemain yang berkebolahan untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan. Turut mempopularkan permainan bola keranjang dalam kalangan warga SBP khususnya pelajar bumiputera. Antara tujuan lain adalah untuk meningkatkan mutu perbahasan dalam kalangan pembahas SBP Zon Selatan selain mengenal pasti pembahas dan pasukan bahasa yang berkebolehan untuk di ketengahkan di peringkat kebangsaan.


Hari Pertama

Kesemua 14 buah sekolah berkampung di SM Sains Muar (SAMURA), Ledang, Johor Darul Takzim bermula seawal jam 10 pagi pada 12 Mac 2010. Taklimat kepada semua peserta diadakan di Dewan Besar SAMURA pada pukul 3 petang. Ucapan alu-aluan diberikan oleh Guru Penolong Kanan SAMURA Tuan Haji Abd. Shukor bin Salikin. Diikuti oleh taklimat peserta dan juga hakim Pertandingan Bahas Bahasa Melayu dan Bahas Bahasa Inggeris. Tiada pertandingan bola keranjang pada hari pertama kecuali Pertandingan Bahasa Bahasa Malaysia dan Bahasa Bahasa Inggeris pada sebelah malam.


Hari Kedua

Pertandingan Bola Keranjang diadakan awal-awal pagi di gelanggang, manakala pasukan bahas pula bertanding di bilik-bilik debat. Cuaca yang elok pada sebelah pagi memberikan banyak laluan kepada peserta membuat persembahan yang meyakinkan dan memberikan persembahan yang terbaik.


Hari Ketiga

Pertandingan diteruskan tetapi dalam cuaca mendung dan hujan. Pertandingan Bola keranjang terpaksa dijalankan dalam gelanggang tertutup di beberapa buah sekolah berhampiran di Daerah Muar dan Daerah Ledang bagi memastikan semua pertandingan dapat dijalankan sebagaimana yang dirancangkan. Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berlangsung di bilik-bilik Debat dan peserta semakin rancak dan hebat dengan hasil hujah yang diberikan.


Pada sebelah malam diadakan Jamuan Makan Malam. Semua peserta dan kontijen berkumpul di Dewan Besar untuk menikmati juadah yang dihidangkan sambil diselang-selikan dengan persembahan ghazal daripada pelajar-pelajar SM Sains Muar, Ledang, Johor Darul Takzim.


Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan Tuan Haji Nojumuddin bin Abdul Samad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola HKSBP Zon Selatan ke-37. Replika Cek oleh Wakil Bank Rakyat turut disampaikan pada malam tersebut. Bank Rakyat merupakan penaja bagi Pertandingan Bahasa Piala Perdana Menteri.

Hari Keempat

Pada hari keempat, Pertandingan Separuh Akhir dan Akhir Bola Keranjang Lelaki dan Perempuan telah diadakan. Pasukan Bola Keranjang Perempuan yang bertanding ialah Sekolah Tun Fatimah, Kolej Tunku Kurshiah, SBPI Selandar dan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi. Manakala Pasukan Bola Keranjang Lelaki pula ialah Sekolah Datuk ABdul razak, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi dan Sekolah menengah Sains Seremban.

Pasukan bahas yang telah memasuki Pertandingan Separuh Akhir dan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Bahasa Malaysia ialah pasukan dari Sekolah Datuk Abdul Razak, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah (A) Persekutuan Labu dan Sekolah Tun Fatimah. Pasukan Bahas Piala Perdana Menteri Bahasa Inggeris Zon Selatan yang memasuki Pertandingan Separuh Akhir dan Akhir pula ialah Sekolah Menengah Sains Muar, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah dan Kolej Tunku Kurshiah.


Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah diadakan seawal jam 11.30 pagi. Pasukan yang akan mewakili Zon Selatan dalam Pertandingan Bola Keranjang Perempuan ialah Pasukan dari Sekolah Tun Fatimah. dan Pasukan Bola Keranjang Lelaki pula diwakili oleh Sekolah Datuk Abdul Razak. Pasukan Bahas Bahasa Inggeris Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri diwakili oleh Pasukan Sekolah Menengah Sains Muar dan Sekolah Tun Fatimah. Pasukan Bahas Bahasa Malaysia Piala Perdana Menteri pula akan diwakili oleh Sekolah Datuk Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah.

Pada pukul 3.00 petang semua kontijen berangkat pulang ke destinasi masing-masing. Pihak Jawatankuasa Pengelola HKSBP Zon Selatan kali ke-37 Tahun 2010 mengucapkan syabas kepada pasukan yang menang dan akan mewakili Zon Selatan ke HKSBP Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kelantan Darul Naim. Selamat Bertanding untuk mereka.


KONSERT AMAL FLOURISHES SERI PUTERI WINDS





Pasukan Wind Orchestra Sekolah Seri Puteri Cyberjaya yang lebih dikenali sebagai Seri Puteri Winds mengadakan Konsert Amal yang pertama kali dianjurkan yang dikenali sebagai 'Flourishes 2010 : The Concert' pada Sabtu, 1 Mei 2010 bertempat di Dewan Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3. Tetamu Kehormat konsert ialah Y.Bhg. Tan Sri Alimuddin Bin Haji Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Konsert bermula jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 5.15 petang. Auditorium Cempaka Sari yang boleh memuatkan seramai 650 orang penonton penuh dengan penonton yang membeli tiket-tiket berharga RM25.00 - RM100.00. Konsert Amal Flourishes berjaya membuat pungutan kasar sebanyak RM30,000.00.

Seri Puteri Winds yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah menampilkan persembahan hebat dan bertenaga dibawah pimpinan Konduktor iaitu YM Raja Muzafar Shah Raja Abdullah. Lagu-lagu yang dipersembahkan antaranya Certain Up ! (Alfred Reed), Tunggu Sekejap (P.Ramlee ) (dengan iringin soprano Ummu Nadiah Suhaimi), Getaran Jiwa (P.Ramlee), First Suite in E Flat (Gustav Holst), Permaidani (Imanzali - dengan iringan Koir SSP), Oblivion (Astor Piazzolla) , Armenian Dances part 1 (Alfred Reed - iringan penari SSP) dan Vesusius (Frank Ticheli). Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan Trombone Solo oleh Mustaqim Abdullah.

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya merakamkan penghargaan khas kepada YBhg. Tan Sri Alimuddin Haji Mohd Dom (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) , Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster (KPM), para penaja dan penderma yang budiman, ibu bapa yang banyak membantu, SDAR Seremban, Kolej Tunku Kurshiah, SMS Selangor, SMK Wangsa Melawati dan semua penonton yang sudi melapangkan masa menghadiri konsert amal ini.

Kursus Kepimpinan Pengawas Semesti & Sabda






















Pada 23-25 April 2010, Semesti dan Sabda telah menganjurkan kursus kepimpinan pengawas. Seramai 152 pelajar kedua-dua buah sekolah telah terlibat. Dalam kursus tersebut pelajar telah didedahkan dengan ceramah kepimpinan, motivasi, kembara dan latihan dalam kumpulan. Perasmian penutup telah dilakukan oleh wakil Tuan PPD Hilir Perak iaitu Tn Hj Mohd Jalani b Kasmuri (Penolong PPD HEM).

Ekspedisi Menawan Gunung Kinabalu (SESTER)




Pada 11 Mac 2010 yang lalu seramai 30 orang pelajar dan guru Sester menyertai Ekspedisi Menawan Gunung Kinabalu iaitu 19 orang pelajar dan 11 orang guru. Kesemua pelajar dan guru berkenaan telah berjaya menawan Gunung Kinabalu dan ekspedisi kali ini merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan.

Ekspedisi ini diketuai oleh Tuan Haji Jamil bin Sakmin (Penolong Kanan Pentadbiran) Sester. Turut sama ialah En. Fauzi bin Ibrahim (Penolong Kanan Kokurikulum).

Tahniah dan syabas kepada pelajar dan guru yang berjaya mengharungi cabaran ini.

Kejohanan Bola Tampar Daerah Kuala Terengganu Selatan



Pada 18 hingga 22 April yang lalu, SM Sains Kuala Terengganu telah menjadi tuan rumah bagi acara Kejohanan Bola Tampat Daerah Kuala Terengganu Selatan. Sebanyak 17 buah sekolah telah meengambil bahagian dalam kejohanan ini iaitu kategori lelaki 17 tahun dan perempuan 17 tahun. SM Sains Kuala Terenggau (Sester) juga telah mengambil bahagian dalam kejohan berkenan.

Bagi kategori perempuan 17 tahun Sester telah mendapat naib johan manakala lelaki hanya ada tempat ke-3 sahaja.


Sunday, May 02, 2010

SBPI SABAK BERNAM UNGGULI KEJOHANAN SOFBOL











SBPI Sabak Bernam telah mengungguli Kejohanan Sofbol MSSD Sabak Bernam bawah umur 18 tahun yang telah dijalankan di SBPI Sabak Bernam. Pasukan lelaki dan perempuan telah menjadi johan dalam kejohanan ini. Tempat kedua bagi kedua-dua kategori dimenangi oleh SMK Datuk Mustafa, Pasir Panjang dan tempat ketiga bagi kedua-dua kategori dimenangi secara bersama oleh SMK Sungai Besar dan SMJK Yoke Kuan. Kejayaan pada tahun ini mengulangi kejayaan pada tahun lepas apabila pasukan SBPI Sabak Bernam memenangi semua kategori umur yang dipertandingkan. Menurut Pengurus Pasukan SBPI Sabak Bernam, En. Zaki bin Amat Kamari, pasukan sofbol SBPI Sabak Bernam telah menjalani latihan secara intensif sejak tahun lepas di bawah bimbingan En. Noor Amiruddin bin Nordin dan Cik Hasfarina bt. Ab. Halim. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Tuan Hj. Shaharudin bin Hj. Mydin, Pengetua Cemerlang, SBPI Sabak Bernam.

SBPI SABAK BERNAM PERTAHAN JUARA RAGBI SABAK BERNAM




Pasukan ragbi bawah 18 tahun, SBPI Sabak Bernam mempertahan kejuaraan ragbi dalam pertandingan ragbi MSSD Sabak Bernam yang didakan di SBPI Sabak Bernam baru-baru ini. Pasukan SBPI Sabak Bernam telah menjuarai pertandingan ragbi peringkat MSSD Sabak Bernam ini sejak tahun 2007.




Pasukan ragbi SBPI Sabak Bernam ini telah menjalani latihan pada setiap hari dibawah kendalian En. Ismail Ali bin Mohd. Alipiah dan En. Farid bin Hamdan. Pasukan ini juga sering menyertai kejohanan terbuka ragbi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.




Selaku johan, pasukan ini menerima sijil dan piala pusingan sumbangan Tuan Hj. Shaharudin bin Hj. Mydin, Pengetua Cemerlang SBPI Sabak Bernam. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Tuan Hj. Shaharudin.

TEMASYA OLAHRAGA SBPI SABAK BERNAM
















TEMASYA OLAHRAGA SBPI SABAK BERNAM










SBPI Sabak Bernan telah mengadakan Temasya Olahraga ke-8, baru-baru ini. Temasya ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pelajar mengambil bahagian dalam acara sukan melalui sukantara yang dijalankan selaras dengan konsep sukan untuk semua. Selain itu temasya ini juga bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam acara olahraga.










Turut diadakan ialah acara perbarisan dan hiasan rumah. Setiap rumah sukan menampilkan gaya dan kreativiti masing-masing berdasarkan tema yang dipilih. Selain itu, diadakan juga acara tarik tali antara rumah sukan.










Johan keseluruhan dimenangi oleh rumah Xenon ( Hijau ), naib johan rumah Radon ( Biru ), ketiga rumah Helium ( Merah ) dan keempat rumah Kripton ( Kuning ). Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh En. Roslan bin Din, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Sungai Besar.

SMSPS JUARA RAGBI USM 10'S 2010


Pasukan Ragbi SMSPS telah menyertai Kejohanan Ragbi USM 10'S 2010 bagi kategori sekolah/matrikulasi pada 28 & 29 Februari 2010 bertempat di USM Transkrian, Nibong Tebal Pulau Pinang. Pasukan Ragbi SMSPS berada dalam kumpulan H bersama-sama MCKK, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, MRSM Pulau Pinang dan SM Teknik Balik Pulau.


Pasukan Ragbi SMSPS telah menjadi johan setelah menewaskan Sek. Men. King Edward, Taiping Perak 10-5. Johan telah mendapat medal dan wang kemenangan.



Kembara SAMURA


BEIJING, JUMAAT , 12 Jun – Program Pengantarabangsaan III Samura 2009 ke Beijing telah berjalan dengan lancarnya. Program yang bermula pada 8 Jun 2009 dan berakhir pada 12 Jun 2009 disertai oleh seramai 39 orang perserta yang terdiri daripada 13 orang pelajar lelaki, 19 orang pelajar perempuan, 4 orang guru, seorang staf dan dua orang ahli keluarga staf. Program yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar SAMURA membuat perbandingan berkaitan dengan sistem pendidikan dan sosiobudaya negara yang pernah bersahabat dan berdagang dalam Zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain mengharapkan agar mereka dapat menghargai apa-apa yang mereka miliki dan nikmati pada masa ini. Program ini juga ingin melahirkan pelajar SAMURA yang memiliki kecemerlangan ilmu, kemampuan sahsiah, kesejagatan kepemimpinan dan kejituan patriotisme bagi melahirkan ahli sains, teknokrat dan profesonal yang dapat memenuhi aspirasi dan tuntutan agama, bangsa dan negara.

Kami bertolak ke KLIA pada pukul 4.00 petang Ahad, 7 Jun 2009 dan berkumpul di Aras 5 KLIA pada pukul 8.00 malam bersama-sama sebahagian peserta yang dihantar oleh ahli keluarga. Berlepas pada pukul 12.20 tengah malam dengan menaiki pesawat MAS MH 370 dan tiba di Lapangan Terbang Beijing seawall 6.35 pagi. Terkandas dalam pesawat hamper satu jam setengah kerana menjalani pemeriksaan individu berikutan kes H1N1. Dua orang peserta telah ditahan oleh pihak berkuasa Beijing namun selepas pemeriksaan lanjut, kedua-dua peserta dilepaskan kerana cuma demam biasa sahaja. Rombongan yang diketuai oleh Tuan Haji Zakaria bin Haiyun, Pemangku Pengetua SM Sains Muar, menaiki bas yang disediakan dan terus ke restoran Islam yang berdekatan untuk bersarapan pagi sebelum ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing untuk kunjungan rasmi yang pertama.

Kedatangan kami dialu-alukan dan disambut oleh Encik Wong Chong Way, Attache Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Kami diberikan taklimat oleh Encik Wong tentang peranan Kedutaan dan Keadaan di Beijing. Turut Hadir Encik Azamam bin Abdul Samad, Attache Pertahanan yang banyak membantu dalam program ini. Selepas sesi bergambar dengan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kami terus Check-In di Hotel Rainbow (4 Star) sebelum makan tengah hari di restoran Islam yang kedua dan kemudiannya melawat ‘Summer Palace” untuk menyaksikan dengan mata sendiri keindahan tasik buatan manusia di pinggir istana Maharaja.

Walaupun keadaan hujan lebat, namun kepenatan yang dialami oleh peserta tidak tergambar kerana ketakjuban anugerah tuhan. Sebelah malamnya kami menyaksikan akrobatik yang berbeza dengan selalunya kerana kami dikelilingi oleh ‘Mat Salleh dan Minah Salleh” dalam panggung tersebut.

Hari kedua kami mulai dengan kunjungan ke CRI (China Radio International) Siaran Bahasa Melayu bertemu dengan penyiar seperti Kak Awan, Satrio, Melur, Cempaka, Kak Rafidah dan Encik Zaharuddin. Para peserta dapat membuat persembahan Kebudayaan di Lobi CRI dan disaksikan oleh penyiar Siaran Bahasa Melayu dan penyiar dari siaran bahasa-bahasa lain.




Selain Muhammad Syafiq berseloka dan bersyair, Pasukan Silat membuat persembahan silat, manakala Alif dan Syazwan mempamerkan silat tempur sebelum pasukan zapin membuat persembahan tarian zapin. Akhir sekali pasukan penari SAMURA mengajar penyiar CRI menari tarian joget dan seronok dengan aktiviti yang disajikan.

Sebelah petangnya kami melawat Medan Tianamen dan Forbidden City. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dapat mengunjungi Forbidden City yang sudah berusia 1500 tahun menggambarkan betapa gahnya nama Maharaja China suatu masa dahulu.

Hari Ketiga kami ke “Great Wall”. Mendaki beratus-ratus anak tangga merupakan kebanggaan kami kerana telah menziarahi salah satu tempat daripada tujuh keajaiban dunia. Pengalaman mendaki kubu ini memang tidak dapat dilupakan apabila ada yang terpaksa merangkak dan berhenti berpuluh-puluh kali. Selain ke “Great Wall” kami turut mengunjungi Kilang-kilang batu jade, Kristal, permata, kilang ubat-ubatan dan sutera.

Hari keempat kami mengunjungi bekas arena antarabangsa iaitu Kompleks Stadium Sukan Olimpik 2008. Menghabiskan masa selama satu jam setengah di situ memang tidak dapat dilupakan kerana di situlah tempat para atlet menempah dan menempa nama di peringkat olimpik. Semangat kesukanan yang dipamerkan memberikan kami inspirasi untuk berjaya sehingga ke peringkat tertinggi suatu hari nanti.

Kami pulang dengan selamat pada 12 Jun 2009 dan tiba di SAMURA pada pukul 4.00 pagi dengan kepuasan kerana misi kami pada kali ini telah berjaya.Program Pengantarabangsaan ke-3, selepas ke Tanjung Pinang pada tahun 2007, dan ke Sumatera pada tahun 2008, dan pada kali ini program pengantarabangsaan bermatlamatkan aspek “Bahasa, Kebudayaan dan Sejarah” bagi memberi peluang kepada para peserta pengalaman sendiri kerana pengalaman tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Pastinya banyak tempat lain di dunia yang akan dilawati bak kata pepatah “Jauh berjalan luas pemandangan”.