Sunday, May 02, 2010

Kembara SAMURA


BEIJING, JUMAAT , 12 Jun – Program Pengantarabangsaan III Samura 2009 ke Beijing telah berjalan dengan lancarnya. Program yang bermula pada 8 Jun 2009 dan berakhir pada 12 Jun 2009 disertai oleh seramai 39 orang perserta yang terdiri daripada 13 orang pelajar lelaki, 19 orang pelajar perempuan, 4 orang guru, seorang staf dan dua orang ahli keluarga staf. Program yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar SAMURA membuat perbandingan berkaitan dengan sistem pendidikan dan sosiobudaya negara yang pernah bersahabat dan berdagang dalam Zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain mengharapkan agar mereka dapat menghargai apa-apa yang mereka miliki dan nikmati pada masa ini. Program ini juga ingin melahirkan pelajar SAMURA yang memiliki kecemerlangan ilmu, kemampuan sahsiah, kesejagatan kepemimpinan dan kejituan patriotisme bagi melahirkan ahli sains, teknokrat dan profesonal yang dapat memenuhi aspirasi dan tuntutan agama, bangsa dan negara.

Kami bertolak ke KLIA pada pukul 4.00 petang Ahad, 7 Jun 2009 dan berkumpul di Aras 5 KLIA pada pukul 8.00 malam bersama-sama sebahagian peserta yang dihantar oleh ahli keluarga. Berlepas pada pukul 12.20 tengah malam dengan menaiki pesawat MAS MH 370 dan tiba di Lapangan Terbang Beijing seawall 6.35 pagi. Terkandas dalam pesawat hamper satu jam setengah kerana menjalani pemeriksaan individu berikutan kes H1N1. Dua orang peserta telah ditahan oleh pihak berkuasa Beijing namun selepas pemeriksaan lanjut, kedua-dua peserta dilepaskan kerana cuma demam biasa sahaja. Rombongan yang diketuai oleh Tuan Haji Zakaria bin Haiyun, Pemangku Pengetua SM Sains Muar, menaiki bas yang disediakan dan terus ke restoran Islam yang berdekatan untuk bersarapan pagi sebelum ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing untuk kunjungan rasmi yang pertama.

Kedatangan kami dialu-alukan dan disambut oleh Encik Wong Chong Way, Attache Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Kami diberikan taklimat oleh Encik Wong tentang peranan Kedutaan dan Keadaan di Beijing. Turut Hadir Encik Azamam bin Abdul Samad, Attache Pertahanan yang banyak membantu dalam program ini. Selepas sesi bergambar dengan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kami terus Check-In di Hotel Rainbow (4 Star) sebelum makan tengah hari di restoran Islam yang kedua dan kemudiannya melawat ‘Summer Palace” untuk menyaksikan dengan mata sendiri keindahan tasik buatan manusia di pinggir istana Maharaja.

Walaupun keadaan hujan lebat, namun kepenatan yang dialami oleh peserta tidak tergambar kerana ketakjuban anugerah tuhan. Sebelah malamnya kami menyaksikan akrobatik yang berbeza dengan selalunya kerana kami dikelilingi oleh ‘Mat Salleh dan Minah Salleh” dalam panggung tersebut.

Hari kedua kami mulai dengan kunjungan ke CRI (China Radio International) Siaran Bahasa Melayu bertemu dengan penyiar seperti Kak Awan, Satrio, Melur, Cempaka, Kak Rafidah dan Encik Zaharuddin. Para peserta dapat membuat persembahan Kebudayaan di Lobi CRI dan disaksikan oleh penyiar Siaran Bahasa Melayu dan penyiar dari siaran bahasa-bahasa lain.




Selain Muhammad Syafiq berseloka dan bersyair, Pasukan Silat membuat persembahan silat, manakala Alif dan Syazwan mempamerkan silat tempur sebelum pasukan zapin membuat persembahan tarian zapin. Akhir sekali pasukan penari SAMURA mengajar penyiar CRI menari tarian joget dan seronok dengan aktiviti yang disajikan.

Sebelah petangnya kami melawat Medan Tianamen dan Forbidden City. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dapat mengunjungi Forbidden City yang sudah berusia 1500 tahun menggambarkan betapa gahnya nama Maharaja China suatu masa dahulu.

Hari Ketiga kami ke “Great Wall”. Mendaki beratus-ratus anak tangga merupakan kebanggaan kami kerana telah menziarahi salah satu tempat daripada tujuh keajaiban dunia. Pengalaman mendaki kubu ini memang tidak dapat dilupakan apabila ada yang terpaksa merangkak dan berhenti berpuluh-puluh kali. Selain ke “Great Wall” kami turut mengunjungi Kilang-kilang batu jade, Kristal, permata, kilang ubat-ubatan dan sutera.

Hari keempat kami mengunjungi bekas arena antarabangsa iaitu Kompleks Stadium Sukan Olimpik 2008. Menghabiskan masa selama satu jam setengah di situ memang tidak dapat dilupakan kerana di situlah tempat para atlet menempah dan menempa nama di peringkat olimpik. Semangat kesukanan yang dipamerkan memberikan kami inspirasi untuk berjaya sehingga ke peringkat tertinggi suatu hari nanti.

Kami pulang dengan selamat pada 12 Jun 2009 dan tiba di SAMURA pada pukul 4.00 pagi dengan kepuasan kerana misi kami pada kali ini telah berjaya.Program Pengantarabangsaan ke-3, selepas ke Tanjung Pinang pada tahun 2007, dan ke Sumatera pada tahun 2008, dan pada kali ini program pengantarabangsaan bermatlamatkan aspek “Bahasa, Kebudayaan dan Sejarah” bagi memberi peluang kepada para peserta pengalaman sendiri kerana pengalaman tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Pastinya banyak tempat lain di dunia yang akan dilawati bak kata pepatah “Jauh berjalan luas pemandangan”.

No comments: