Saturday, May 30, 2009

HKSBP KEMBALI LAGI.....



























Hari Kecemerlangan SBP (HKSBP) kembali lagi pada tahun ini dengan Sekolah Seri Puteri (SSP) menjadi tuan rumah pada kali ini. Dengan kehadiran lebih dari 2000 orang peserta dan guru pengiring termasuk ketua kontijen, HKSBP tahun ini menjanjikan sesuatu yang meriah berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan Pertandingan Bola Keranjang Perempuan telah diadakan di SSP dan Pertandingan Bola Keranjang Lelaki di Sekolah Alam Shah (SAS) sebagai tuan rumah bersama.

Dengan penyertaan dari semua SBP di Malaysia termasuk SBP-SBP yang baru dibuka, sorakan yang hebat daripada penyokong-penyokong pasukan yang bertanding dapat dilihat di SSP dan SAS. Dapat dilihat dari air muka peserta-peserta yang mewakili SBP masing-masing semangat juang dan keazaman yang tinggi diterjemahkan dalam pertandingan bahas dan pertandingan bola keranjang.

Dengan kerjasama yang padu dari semua pegawai di peringkat bahagian termasuklah guru-guru SSP dan SAS dan juga dari SBP-SBP yang terlibat telah berjaya meletakkan HKSBP sebagai satu acara yang hebat dan terbesar pada tahun ini. Tidak dilupakan Majlis Anugerah Cemerlang (MAC) yang diadakan pada 31 Mei 2009 di Dewan Perdana PICC yang dirasmikan dan disempurnakan oleh Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah membawa HKSBP ke satu tahap yang lebih tinggi. Ini diharapkan dapat membakar semangat Pelajar-pelajar SBP untuk menunjukkan kecemerlangan yang lebih baik di masa hadapan.

Pada malam MAC, SEMASHUR telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Akademik 2008, SDAR pula dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Kokurikulum manakala SAINSKU pula mendapat Anugerah Asrama Terbilang 2009 yang baru diperkenalkan pada tahun ini. SBP Terbaik Keseluruhan 2008 pula telah dimenangi oleh TKC.

Bagi acara Bola Keranjang pula SSP telah menjuarai kategori perempuan mengalahkan STF dan SAINSKU mengalahkan SDAR dalam acara lelaki. Tidak dinafikan perlawanan bola keranjang tahun ini banyak mempamerkan aksi yang hebat dan berkualiti. Ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar SBP bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malahan di bidang sukan juga mereka dapat menunjukkan kecemerlangan mereka juga.
Pada tahun depan SM Sains Pasir Puteh akan menjadi tuan rumah bagi HKSBP 2010 dan diharapkan kemeriahan pada tahun ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Monday, May 18, 2009

KARNIVAL SUKAN PELAPIS NEGERI 1 / 2009









Baru-baru ini telah diadakan Karnival Sukan Pelapis Negeri 1 / 2009 di Pulau Pinang pada 07 Mei hingga 10 Mei 2009 di Padang Polo dan pihak BPSBPSK telah menghantar 1 pasukan memanah lelaki dan 1 pasukan memanah perempuan.

Walaupun menghadapi masalah pada permulaan tetapi hasil dedikasi SMA Persekutuan kajang selaku Pusat Kecemerlangan Latihan Memanah SBP telah berjaya mendapatkan atlit-atlit untuk bertanding di dalam Karnival ini.

Karnival ini merupakan platform atau pengukur pasukan pelapis SBP yang mana ini dapat menyiapkan pasukan memanah SBP yang lebih mantap. dengan adanya Karnival seperti ini, SBP tidak akan ketandusan pemanah kerana mempunyai pasukan pelapis yang bersedia untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi lagi.

Hasil dedikasi jurulatih memanah SBP, En. Madzlan bin Yaacob yang mana pasukan SBP sentiasa mendapat pingat di dalam setiap kejohanan dan karnival yang disertai. Di dalam karnival ini, pasukan pemanah lelaki SBP telah mendapat tempat ke-9 keseluruhan. Bagi Individu pula, Amir Syazmi Madzlan dari SMAP Kajang telah mendapat tempat ke-2 untuk jarak 90m Kategori 1 dengan pungutan mata 274 dan tempat ke-3 untuk jarak 30m Kategori 1 dengan pungutan mata 334. Manakala bagi berpasukan lelaki, mereka mendapat tempat ke-3 Berpasukan lelaki Kategori 1 dengan pungutan mata 3,324.

Syabas diucapkan kepada pemanah-pemanah SBP yang telah menaikkan nama SBP sebagai model kepada sekolah-sekolah lain.