Friday, July 31, 2009

Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum SBP- Kundasang, Sabah (Hari Kedua)











Pada hari kedua Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum, peserta telah berkumpul di surau Kem Bina Negara Kundasang sejak jam 4.15 pagi lagi kerana waktu subuh di Kundasang adalah pada jam 4.45 pagi dan ianya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana suhu pada waktu itu begitu sejuk.

Selepas selesai solat subuh berjemaah, peserta dibawa ke Dewan Sri Perdana untuk mendengar Kuliah Subuh dan tayangan video tentang zaman kemerdekaan sehingga jam 6.00 pagi. Selepas tamat Kuliah Subuh, peserta diminta untuk menjalani aktiviti riadah pagi diketuai oleh Pak Zainal di dataran. Berbagai-bagai aktiviti yang menyeronokkan telah dilakukan dan peserta-peserta begitu bersemangat dan bergembira melakukan aktiviti riadah pagi. Kemudian diikuti dengan sarapan pagi.

Selepas menguruskan diri, peserta kembali ke Dewan Sri Perdana untuk mendengar kuliah dari Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, En. Roslan Bin Abdul Latif yang menerangkan tentang Carreer Guidance kepada murid-murid SBP. Ianya perlu dikenalpasti sejak dari bangku sekolah lagi supaya murid-murid dapat mengenalpasti kekuatan-kekuatan yang ada pada mereka yang boleh diaplikasikan pada masa akan datang. Selain itu juga, beliau menerangkan tentang kepentingan IQ, EQ dan BQ. Banyak maklumat dan input yang diberikan yang boleh digunakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum untuk membangunkan sahsiah dan peribadi murid di sekolah. Ini dapat dilakukan kerana Penolong Kanan Kokurikulum merupakan individu yang bertanggungjawab dalam merangka aktiviti luar darjah yang dapat membangunkan potensi dan seseorang itu secara holistik baik dari segi rohani dan jasmani.

Selepas itu, program diteruskan dengan fakta-fakta sejarah yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini oleh En. Idris. Beliau mengupas tentang sejarah penjajahan Melaka dan senario pada masa ini yang boleh dikaitkan dengan masa silam. Banyak maklumat-maklumat baru yang didapati disorok dari umum dan maklumat-maklumat yang beliau berikan mengejutkan banyak pihak dan perbincangan menjadi hangat dengan pandangan yang dilontarkan oleh peserta-peserta. Walaupun begitu, peserta-peserta dan fasilitator membincangkannya dari sudut ilmiah dan matang serta mendapat banyak input darinya.

Selepas itu, Pengarah BTN Negeri Sabah, Datuk Ibrahim Saad memberikan ucapan dan menyampaikan banyak informasi kepada peserta-peserta. Beliau juga menceritajkan tentang sejarah Kem Bina Negara Kundasang dan juga pengalaman beliau semasa menjadi guru pada suatu masa dahulu.

Selepas tamat 3 sesi kuliah, peserta dibawa mengelilingi kawasan sekitar Kem Bina Negara Kundasang pada waktu riadah petang. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh peserta-peserta untuk menikmati keindahan alam di Kundasang ini.

Pada waktu malamnya pula diadakan sessi suaikenal dan aktiviti-aktiviti yang dirangka oleh pihak BTN amat menyeronokkan dan peserta-peserta gembira melibatkan diri mereka dalam aktiviti nyanyian, konduktor muzik dan lain-lain.

Kursus Bina Negara (Khas) Penolong Kanan Kokurikulum SBP- Kundasang, Sabah (Hari Pertama)











Selepas selesai mesyuarat PK Kokurikulum SBP bil 2/2009 di SMESH, rombongan PK Kokurikulum dibawa dengan bas oleh pihak BTN ke Kem Bin Negara Kundasang Sabah pada jam 2 petang 21 Julai 2009.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 2 jam telah mengambil masa hampir 3 jam kerana cuaca yang tidak mengizinkan kerana hujan. Perjalanan merentasi gunung dan jalan yang berliku merupakan cabaran yang pertama yang harus dilalui oleh PK Kokurikulum sebelum tiba di Kundasang. Kem Bina Negara Kundasang yang teletak di tengah-tengah pekan Kundasang merupakan Kem Bina Negara yang tercantik dan unik di Malaysia yang mana lokasinya adalah di atas bukit sejauh 1.7km daripada pekan Kundasang.

Dengan keadaan yang sejuk dan nyaman, dilatari oleh banjaran Gunung Kinabalu dan pekan Kundasang sebagai latar belakang, terpancar wajah kegembiaraan di kalangan PK Kokurikulum kerana mereka merupakan kumpulan yang bertuah yang dapat menjalani Kursus Bina Negara di sini. Kedatangan PK Kokurikulum disambut dengan mesra oleh jurulatih, urusetia dan pegawai Biro Tatanegara.

Sebaik sahaja selesai pendaftaran dan pengurusan diri, kumpulan PK Kokurikulum diberikan taklimat oleh Jurulatih Kanan Kem Bina Negara iaitu Pak Zainal Aripin tentang aspek keselamatan di dalam kem dan penerangan serba ringkas mengenai Biro Tatanegara oleh Timbalan Pengarah En. Fauzi Mohd Jusak.

Selepas itu, kumpulan dibawa terus ke surau untuk menunaikan solah maghrib dan isyak dan selepas itu diteruskan lagi dengan sessi penerangan hingga jam 12.00 malam.

Tuesday, July 21, 2009

MESYUARAT PENOLONG KANAN KOKURIKULUM BIL 2/2009









Mesyuarat Penolong Kanan Kokurikulum Bil 2/2009 telah diadakan pada 20 hingga 21 Julai di SM Sains Sabah (SMESH) dan dihadiri hampir kesemua Penolong Kanan kokurikulum SBP di Malaysia. Mesyuarat tersebut telah berjalan dalam suasana yang mesra dan lancar dan banyak idea dan perkara-perkara berbangkit dapat diselesaikan. Mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah BPSBPSK, Pn. Hjh Norlia Bt Mohd Shuhaili dan pengetua SMESH, Tn Hj Zaini Bin Zair juga sudi meluangkan masa untuk bersama di dalam mesyuarat walaupun baru kembali dari King College, London.

Di dalam mesyuarat ini juga, Penolong Kanan Kokurikulum telah mencadangkan nama-nama tuan rumah untuk kejohanan kebangsaan bagi tahu 2010 untuk diangkat ke Mesyuarat Majlis Pengetua SBP yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti untuk diputuskan. Manakala post mortem untuk kejohanan-kejohanan yang lepas juga dibentangkan supaya mendapat perhatian dan boleh dilakukan penambahbaikan pada tahun-tahun akan daatang.

Mesyuarat ditangguhkan jam 11.30 malam supaya semua PK Kokurikulum dapat merehatkan diri untuk Kursus Bina Negara di Kundasang pada esok harinya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada urusetia SMESH kerana telah bertungkus lumus membantu pihak BPSBPSK menjayakan mesyuarat Penolong Kanan Kokurikulum SBP bil 2/2009.





Wednesday, July 15, 2009

FINALE FESTIVAL WIND ORCHESTRA 2009











Pertandingan Finale Festival Wind Orchestra SBP telah berjaya diadakan di Dewan Pelinari PICC pada 20 Jun 2009. Peringkat awal telah diadakan di Sekolah Menengah Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan Pahang di mana pada julung kalinya ia telah dibuka kepada sekolah-sekolah Kluster. Sebanyak 7 pasukan SBP iaitu MCKK, TKC, Sekolah Sultan Alam Shah Putrjaya, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Dato Abdul Razak Seremban, SM Sultan Abdul Halim Jitra dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh serta satu sekolah Kluster bukan SBP iaitu SMJK Ave Maria Convent telah terpilih dalam pertandingan akhir itu. Buat pertama kalinya pasukan Wind Orchestra SBP yang di pilih dikalangan pelajar SBP dari pasukan yang tidak terpilih ke peringkat akhir telah dibentuk dan turut membuat persembahan dalam festival kali ini. Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan juga telah turut membuat persembahan tarian sewang yang cukup menarik.

Tetamu kehormat majlis kali ini adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin. Majlis turut dihadiri KSU,KPPM,TKSU,TKPPM dan ketua-ketua jabatan serta pengetua-pengetua SBP seluruh negara. Kolej Tunku Kushiah telah mendapat tempat pertama dan naib johan disandang oleh Sekolah Dato' Abdul Razak Seremban. Tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Sultan Abdul Halim Jitra Kedah. Syabas kepada para pemenang dan teruskan usaha anda untuk menyertai pertandingan peringkat dunia pada tahun hadapan. Kepada yang kalah , cuba lagi tahun hadapan.

Monday, July 06, 2009

PERTANDINGAN BAHAS PIALA PERDANA MENTERI KE-36
















Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri telah diadakan di Dewan A, PICC pada 03 Julai 2009 yang lalu. pertandingan Bahas Bahasa Inggeris telah dijalankan pada sebelah pagi dengan tajuk "This House Believes That Bloggers Are A Threat To National Securities" yang telah dimenangi oleh Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang mengalahkan SM Sultan Abdul Halim Shah, Jitra. Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Ashah Bt Samah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster.
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya diwakili oleh Azalia Bt Zaharuddin, Nurul Bainun Bt Ahmad Shafri, Ameera Natasha Moore Bt James Moore dan Nurqamilla Aida Bt Amirudin. Manakalan SM Sultan Abdul Halim, Jitra diwakili oleh Luqman Harith Bin Saifuddin, Mohd Dell Hakim Bin Zulbahri, Nor Adilah Bt Ramli dan Amira Atira Bt Azman. Ameera Natasha Moore Bt James Moore telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris.
Pada sebelah petang, tepat jam 2.30 petang, YB Dr. Hj. Mohd Puad Bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran hadir sebagai tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-36/2009 (Bahasa Malaysia). Dalam ucapannya, YB Dr. Hj Mohd Puad Bin Zarkashi ingin menjadikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ini sebagai siaran lintas langsung dan disiarkan di televisyen seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mahu melihat acara bahas ini diangkat setaraf dengan acara-acara lain. Beliau berpendapat pembahas-pembahas ini merupakan pelapis-pelapis pemimpin negara masa akan datang yang mana beliau juga merupakan bekas pembahas suatu masa dahulu.

Bagi Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia, SM Agama Persekutuan Kajang yang diwakili oleh Hairul Izlan Bin Shamsudin, Mohd Nur Afiq Bin Mohd Yasim, Mohd Rashid Bin Mohd Aminuddin dan Muhammad Akmal Qushayry Bin Ariffin bertemu SM Sains Selangor yang diwakili oleh Mohd Farid Izmer Bin Mohd Fadzil, Mohd Khairul NizamBin Saharuddin, Larry anak Paing dan Azfar Affif Bin Che Kamal dengan membahaskan tajuk "Kuasa Merotan Wajar Dikembalikan Semula Kepada Semua Guru". Bagi Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia SM Agama Persekutuan Kajang telah mengalahkan SM Sains Selangor dan Mod Nur Afiq Bin Mohd Yasim telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Malaysia.

Persembahan selingan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-36 ini telah dipersembahkan oleh SM Sains Seri Puteri yang mempersembahkan tarian etnik, SM Saisn Johor, tarian zapin, SM Agama Persekutuan Kajang, nasyid, SM Sains Muar, "Voice of the Soul" dan Sekolah Pendidikan Khas Vokasional (Cacat Pendengaran) Shah Alam, tarian.

Pada persidangan akhbar selepas pertandingan, YB Dr. Hj. Mohd Puad Bin Zarkashi telah menyatakan bahawa beliau akan mencadangan di dalam mesyuarat pasca kabinet untuk memberikan hadiah biasiswa kepada pemenang-pemenang Pertandinagan Bahas Piala Perdana Menteri pada masa akan datang kerana beliau melihat pertandingan ini merupakan pertandingan yang berperstij dan telah berjalan selama 36 tahun.