Tuesday, June 30, 2009

KEJOHANAN HOKI BAWAH 16 SBP KE-4 TAHUN 2009





























Kejohanan Hoki Bawah 16 SBP ke-4 tahun 2009 telah melabuhkan tirainya pada 28 Jun 2009 lalu dengan SM Sains Raja Tun Azlan Shah telah menjadi johan mengalahkan SM Sains Machang 5-4 penalty flick, Sekolah Tun Fatimah mengalahkan SM Sains Dungun 1-0 gol padang. Tuan rumah bagi kejohanan tahun ini adalah SM Sains Selangor yang mana telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan kejohanan pada tahun ini.

Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee, Pengerusi Yayasan Cheras dalam majlis makan malam rasmi pada 25 Jun 2009 di SM Sains Selangor. Dalam acara tersebut YBhg Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee telah bermurah hati untuk menyumbang RM 10,000.00 dan juga piala iringan untuk dikongsi oleh pasukan-pasukan yang memenangi kejohanan ini. Selain Yayasan Pendidikan Cheras, penaja-penaja lain seperti Carisbrook, Nestle dan PLUS Highway juga telah bermurah hati untuk menyumbangkan pakaian, trofi dan medal, air mineral dan juga minuman MILO sepanjang kejohanan berlangsung.Syabas diucapkan kepada SM Sains Selangor atas usaha untuk mendapatkan penaja-penaja tersebut. Pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian pihak penaja atas sumbangan mereka di dalam kejohanan ini.

Kejohanan ini telah dijalankan di dua padang iaitu Stadium Hoki Kuala Lumpur, Lembah Pantai bagi lelaki dan Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta bagi perempuan. Bagi perlawanan separuh akhir dan akhir kedua-dua kategori diadakan di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.

Perasmian penutupan kejohanan pula telah disempurnakan oleh Puan Hajah Norlia Bt Mohd Shuhaili, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster pada 28 Jun 2009 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.

Wednesday, June 24, 2009

KEJOHANAN RAGBI 10 SEPASUKAN SBP KE-10

















Kejohanan Ragbi 10 sepasukan Sekolah Berasrama Penuh ke -10 telah selesai diadakan pada 8-12 Jun 2009 di Sekolah Menengah Sains Johor Kluang, Johor. Sebanyak 48 pasukan Sekolah Berasrama Penuh seluruh Malaysia termasuk Maktab Tentera Di Raja Sungai Besi telah menyertai pertandingan ini. Dua buah SBP iaitu SMS Miri Sarawak dan SMS Tuanku Syed Putra Perlis telah menarik diri disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Pertandingan pada kali ini menampakkan peningkatan mutu perlawanan terutama dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi. Johan telah disandang oleh Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang telah menewaskan Sekolah Dato Abdul Razak Seremban. Tempat ke tiga di sandang oleh Sekolah Menengah Sains Selangor, Cheras Kuala Lumpur. Tuan rumah pula menyandang tempat ke empat. SBPI Gombak telah menjuarai kategori Plate dengan menewaskan SBPI Sabak Bernam. Sekolah Sultan Alam Shah juara kategori bowl setelah menewaskan Maktab Tentera Di Raja. Untuk kategori Shield di menangi oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa setelah menewaskan SBPI Selandar. Majlis makan malam turut di hadiri oleh exco sukan Johor manakala majlis penutupan oleh Pn Ashah Samah, Pengarah BPSBPSK. Syabas kepada para pemenang dan terima kasih kepada para penaja dan peyumbang terutama Kerajaan negeri Johor dan Total Field serta Milo. Terima kasih juga kepada semua warga SMSJ yang telah berjaya menjayakan kejohanan ini dengan begitu baik dan lancar. Syabas para pemenang, jumpa lagi tahun depan, Insya Allah di negeri Kedah.