Monday, October 18, 2010

Hari Keluarga SBPI RAWANG 2010




 Program Keluarga SBPI Rawang ini telah dijalankan dengan jayanya di Pantai Indah Seaview Resort, Jeram pada 16-17 Oktober 2010. Antara program yang telah diatur adalah Slot Tazkirah, Makan Malam, Telematch dan Santai di Kolam. Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap peserta dan sambutan yang diberikan amat manggalakkan. Permainan telematch telah diadakan dalam 7 kategori dan peserta telah menunjukkan skil masing-masing. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi 2 tahun akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua AJK Kelab Guru dan Staf SBPI Rawang dalam menjayakan program ini. 

PERHIMPUNAN KHAS & PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT SEKOLAH SERI PUTERI CYBERJAYA

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan perhimpunan khas sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sekolah. Perhimpunan diadakan pada Isnin, 18 Oktober 2010 mulai jam 8.00 pagi hingga 9.30 pagi bertempat di Dewan Perdana Puteri. En Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk "MEMPERKASA BAHASA KEBANGSAAN MELALUI PENTERJEMAHAN" dan seterusnya merasmikan sambutan bulan bahasa kebangsaan tahun 2010.

Perhimpunan khas dimulakan dengan nyanyian lagu NEGARAKU, Lagu negeri SELANGOR, Bacaan Ikrar, Doa, Ucapan Pengetua Cemerlang, Syarahan dan Deklamasi Puisi oleh wakil guru dan wakil murid serta nyanyian lagu BAHASA JIWA BANGSA sebelum diakhiri dengan nyanyian lagu Sekolah. Pelbagai aktiviti telah dan akan dilaksanakan sepanjang bulan Oktober untuk menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan serta mendidik warga sekolah untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Antara aktiviti ialah pertandingan syarahan, debat, deklamasi puisi, nyanyian lagu rakyat dan teka silangkata.

"1BAHASA, 1BANGSA DAN 1NEGARA"

Sunday, October 17, 2010

SSP CYBERJAYA MENYERTAI WALKATHON "CERIA DI TAMAN 2010"

Empat puluh (40) murid Tingkatan 3 , Batch Amigas menyertai Walkathon "Ceria di Taman 2010" yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dan Kelab Nuri Bank Rakyat pada Ahad, 17 Oktober 2010 bertempat di Pusat Rekreasi Air & Taman Wetland, Putrajaya bermula jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Dua kategori dipertandingkan iaitu kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah. Setiap kumpulan terdiri daripada sekurang-kurangnya 5 ahli hingga 10 ahli.

Peserta Amigas SSP bertanding dalam 8 kumpulan bersama-sama kumpulan Sekolah Menengah yang terdiri daripada murid-murid berumur 15 tahun dan ke bawah tanpa mengira jantina. Peserta dari SSP bertolak dari SSP pada jam 6.55 pagi menaiki bas sewa khas "Nadi Putra" dan pulang pada jam 1 tengahari. Mereka berjaya menggondol dua hadiah utama iaitu TEMPAT PERTAMA dan TEMPAT KEDUA serta satu hadiah saguhati. Hadiah utama berupa wang tunai RM400.00 manakala tempat kedua berupa wang tunai RM300.00 serta hadiah-hadiah iringan yang lain. Kumpulan "Orion" yang menduduki tempat pertama terdiri daripada Nur Dzafirah Sapuan (3T), Dzarif Aqilah Sabri (3T), Nur Hafizah Mohamad Nasir (3T), Syaza Athirah Zulkiflee (3T) dan Ummu Nadiah Suhaimi (3P). Pemenang tempat kedua ialah Fathin Kamaruzzaman (3I), Intan Nurwahidah Saharudin (3E), Noorsarah Hanie Minhaj (3I), Nur Farihah Aminuddin (3U) dan Nur Azrafatini Khalid (3U). Sekolah Seri Puteri Cyberjaya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan Bank Rakyat Cawangan Putrajaya (Precint 8) atas peluang dan undangan menyertai Walkathon "Ceria di Taman 2010".

Tuesday, October 12, 2010

Malaysia World Band Competition 2010 - Kota Iskandar, Nusajaya

Pada 31 Julai 2010 Pasukan Pancaragam Sekolah Tun Fatimah telah menyertai Malaysia World Band Competition yang diadakan di Kota Iskandar, Nusajaya Johor. Antara pasukan dari Malaysia yang terlibat dalam pertandingan ini ialah pasukan dari Kuala Lumpur, pasukan dari Kedah, pasukan dari Johor dan Pasukan pancaragam dari Sekolah Tun Fatimah. Pasukan dari negara lain yang terlibat adalah dari beberapa buah Pasukan negara Indonesia dan Pasukan dari negara Thailand. Pasukan Pancaragam dari Sekolah Tun Fatimah telah mendapat anugerah khas juri dan tempat ketiga dalam peringkat kebangsaan.

           


Monday, October 11, 2010

Ceramah Motivasi Ustaz Zamri (Selebriti TV9) Di SBPI Rawang





    Pelajar-pelajar Tingkatan 5 SBPI Rawang pada 10/10/2010 telah berpeluang menghadiri suatu program yang cukup berharga di Masjid Al-Qadisiah, SEPINTAR bersama Ustaz Mohd. Zamri Bin Zainoldin yang terkenal di Saluran TV9 dengan rancangan Mari Mengaji dan Fardhu ain. 
    Beliau yang banyak menyelitkan unsur jenaka di dalam ceramahnya meninggalkan impak yang besar kepada pelajar-pelajar apabila menyedarkan semua betapa perlunya kita menjaga hati kedua ibubapa dalam mencapai kecemerlangan. Beliau juga banyak memberikan tips kepada pelajar. Beliau banyak menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar dan ini menambahkan minat pelajar mendengar ceramah beliau. Semoga slot ini dapat membentuk pelajar ke arah kecemerlangan.

Sunday, October 10, 2010

SSP MENGANJURKAN MALAM SELINGKAR KASIH (MSK2010)

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan "Malam Selingkar Kasih" Edisi Ke-25 pada Sabtu, 09 Oktober 2010 bertempat di Dewan De Seri Endon, Bangunan Puspanitapuri, Putrajaya. Majlis bermula jam 8.00 malam dan berakhir pada jam 12.00 malam. Tetamu Kehormat MSK2010 ialah Y.Bhg. Puan Ashah Binti Samah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis juga dihadiri oleh Y.Bhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Yang Dipertua PIBG bersama-sama Datin Seri Ismalina Bt Ismail, Puan Jamelah Binti Mansor, Timbalan Pengarah BPSBPSK dan Tuan Ab Rahman Bin Hj Ngit, Pegawai Pelajaran Daerah Sepang. Malam Selingkar Kasih (MKSK2010) agak istimewa berbanding tahun-tahun sebelum kerana MSK2010 merupakan Majlis Sambutan Jubli Perak , edisi ke-25 sejak dimulakan pada tahun Disember 1986 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Acara tahunan ini merupakan acara yang diadakan khusus untuk meraikan murid-murid tingkatan lima yang bakal menamatkan pengajian menengah di Sekolah Seri Puteri, serta acara simbolik penyerahan kembali anak-anak kepada ibu bapa / penjaga masing-masing setelah lima tahun bermukim di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Majlis ini juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa masing-masing serta medan untuk menampilkan bakat, kreativiti, kebolehan dan keanggunan murid-murid yang sinonim dengan imej seorang PUTERI yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga keperibadian dan keyakinan diri yang tinggi.


Majlis bermula pada jam 8.20 malam dengan perarakan masuk puteri-puteri ke pentas dan seterusnya ke meja masing-masing. Ketua Murid SSP, Aina Farzana Mohd Azmi membuka tirai ucapan dengan menyampaikan ucapan terakhir mewakili batch HERMANAS yang menceritakan kisah suka dan duka sepanjang lima tahun di SSP. Ucapan lain disampaikan oleh Puan Hajah Rashidah Md Arif, Pengetua Cemerlang yang mengimbau kembali kecemerlangan HERMANAS dalam bidang akademik dan kokurikulum. Y.Bhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya pula mencabar puteri-puteri HERMANAS untuk terus mengorak langkah mencipta kecemerlangan dan seterusnya mengharumkan nama agama, bangsa dan negara. Puan Ashah Bt Samah pula melontarkan cabaran kepada calon SPM2010 SSP untuk mengorak kejayaan dan kecemerlangan untuk menjadi No1, mengatasi sekolah-sekolah yang lain dalam negara dalam keputusan SPM2010.


Puteri-puteri HERMANAS menampilkan pakaian yang bertemakan pakaian tradisional dari seluruh dunia, dengan penuh gaya dan keanggunan seorang PUTERI SSP. Mereka bukan sahaja memukau hadirin dengan pakaian yang penuh warna-warni tetapi persembahan yang juga mempesonakan. Antara persembahan yang ditampilkan ialah nyanyian lagu Melayu, Inggeris dan Jepun, Persembahan Pancaragam dan Tarian Bollywood dan Tradisional yang dipersembahkan secara duo dan kumpulan. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah "Don't Stop Believing", "Leaving On A Jet Plane" dan "Memori Tercipta". Selain daripada cabutan bertuah, hadiah-hadiah lain yang diberikan antaranya "Miss Best Dress", "Miss Congeniality" dan "Miss One In A Million". Ibu bapa dan hadirin yang berjumlah 700 orang ternyata berpuas hati dengan perjalanan majlis dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan MSK2010.

"Bangunlah puteri oh bangun, harum nama sekolah,

Majulah puteri oh maju, bela bangsa dan negara"

Wednesday, October 06, 2010

SEPINTAR JOHAN KUIZ PINTAR MATEMATIK PIALA DATUK SHUKRI




Tanggal 30 September bersamaan hari Khamis yang lalu, SEPINTAR telah menghantar seramai 8 orang pelajar tingkatan 5 bagi menyertai Kuiz Pintar Matematik Piala Datuk Shukri Edisi ke-7 bertempat di Management Science University (MSU) Shah Alam, Selangor. Objektif utama kuiz ini dijalankan adalah bagi memaksimumkan kemahiran pelajar dalam menyelesaikan masalah Matematik sebelum menjelangnya peperiksaan SPM disamping untuk mempromosikan MSU sebagai destinasi bagi lepasan-lepasan SPM.

Kontinjen ini diketuai oleh guru Matematik, Puan Rosila bt Ahmad Kamari. Pada pusingan akhir, pasukan SEPINTAR A telah bertemu buku dengan ruas apabila menghadapi cabaran sengit daripada pasukan SASER A, ASIS A, SEMASHUR A dan MTD B. Namun pasukan SEPINTAR A ternyata lebih ampuh IQ dan EQnya apabila menang tipis selepas berjaya menjawab hampir kesemua soalan dengan tepat sekaligus dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kuiz Pintar Matematik Piala Datuk Shukri kali ke-7.