Thursday, July 21, 2011

Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-38/2011






Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-38/2011 telah diadakan pada 14 Julai 2011 lalu di Dewan Plenari, PICC. Buat kali pertama, pertandingan edisi ke-38 diadakan di Dewan Plenari, PICC dan bagi tahun kedua Bank Rakyat telah menjadi penaja utama pertandingan ini. Pada tahun ini juga, pertandingan ini buat pertama kalinya disiarkan secara langsung di EduwebTV dengan kerjasama daripada Bahagian Teknolgi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan data yang telah diterima hits di laman web tersebut mencecah lebih 800,000 hits. Manakala penonton yang hadir juga bertambah daripada tahun-tahun sebelumnya iaitu kira-kira 2,000 hadir sewaktu pertandingan berlangsung.
Bagi Bahas Bahasa Inggeris, pertemuan 2 wakil zon selatan iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah menjadi tumpuan pada sesi pagi. Pertembungan SBP zon selatan ini dalam membahaskan tajuk "This House Believes That Wikileaks Is Good For The World" dan dimenangi oleh Kolej Tunku Kurshiah. Pembahas terbaik bagi kategori Bahasa Inggeris ini ialah Nur Natasya bt Abdul Rahman dari Kolej Tunku Kurshiah.
Jika bahas Bahasa Inggeris menemukan 2 SBP dari zon selatan, bahas Bahasa Malaysia pula menemukan 2 SBP dari zon utara iaitu SM Sultan Abdul Halim dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman yang membahaskan tajuk "Kerjasama Ketenteraan Menjamin Keamanan Serantau" dan telah dimenangi oleh Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Pembahas terbaik Bahasa Malaysia ialah Nur Qusyairi Bin Mohamed Fauzi dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman.
Pemenang bagi kedua-dua kategori telah menerima Trofi pusingan, replika trofi dan wang tunai RM 1000.00 setiap seorang sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia. Manakala bagi pembahas terbaik kedua-dua kategori juga menerima RM1000.00 juga sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia.
Tetamu kehormat bagi sesi pagi ialah Y.Brs. Dr Hj Zahri Bin Aziz , Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan). Manakala upacara perasmian telah disempurnakan oleh Y.Brs. Dr Khair Bin Mohamad Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar Pembangunan Pendidikan) mewakili Y.Bhg. Dato' Abd. Ghafar Bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan wakil Pengarah Urusan Bank Rakyat.
Urusetia pertandingan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak di atas kejayaan penganjuran Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-38 ini.

No comments: