Thursday, September 14, 2006

Kejohanan Hoki Bawah 14 SBP 2006






Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun SBP Kali Pertama telah dilaksanakan dengan jayanya pada 6 – 9 September 2006 di Kompleks Hoki Astroturf Majlis Perbandaran Sg. Petani, Kedah.

Tanggung jawab untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan sulung ini telah diamanahkan kepada SMS Sultan Mohamad Jiwa. Antara faktor utama yang menjadikan kejohanan ini berjaya adalah semangat sepasukan yang ditunjukkan oleh semua warga SMSSMJ yang diterajui oleh tuan pengetua, Tn Hj Rusdin bin Husin. Pengalaman sekolah ini dalam menganjurkan Pertandingan Liga Hoki Jemputan SBP Zon Utara Piala ASAK (Alumni Sains Kedah) yang bermula semenjak tahun 2000 juga menyumbang kepada kelicinan kejohanan.

Kejohanan kali ini melibatkan 10 pasukan SBP bagi setiap kategori lelaki dan perempuan yang telah menjadi johan dan naib johan dalam kejohanan peringkat Zon-zon SBP iaitu Zon Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Zon Sabah-Sarawak-Labuan. Sebanyak 47 buah SBP terlibat dalam pertandingan peringkat Zon, manakala baki 7 buah SBP yang hanya menawarkan tingkatan 4 dan 5 tidak menyertai kejohanan ini.

Bagi kategori lelaki, SBP yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan peringkat kebangsaan kali ini adalah SMS Pokok Sena, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, SMS Selangor, SBPI Selandar, Sekolah Dato’ Abdul Razak, SMS Machang dan SMS Tengku Muhammad Faris Petra, SMS Labuan dan SMS Sultan Mohamad Jiwa.

Kategori perempuan pula mempertemukan pasukan hoki daripada SM Sultan Abdul Halim, SMS Tuanku Syed Putra, Sekolah Seri Puteri, SM Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Tun Fatimah, Kolej Tunku Kurshiah, SMS Sultan Mahmud, SMS Dungun, SMS Sabah dan SMS Sultan Mohamad Jiwa.

Dalam perlawanan akhir kategori perempuan, johan telah disandang oleh Sekolah Tun Fatimah yang mengalahkan Sekolah Seri Puteri melalui pukulan penalti yang berkesudahan 1-0 selepas seri tanpa jaringan dalam masa permainan sebenar.

Perlawanan akhir kategori lelaki pula telah mempertemukan pasukan SMS Machang dan SMS Tengku Muhammad Faris Petra yang berkesudahan 3-0 menyebelahi SMS Machang.

Johan kategori lelaki membawa pulang Piala Pusingan Y.Bhg. Dato’ Dr. Hj. Ahamad bin Sipon, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Johan kategori perempuan pula membawa pulang Piala Pusingan Y.Bhg. Datin Hajah Hasiah binti Kadir, isteri Y.Bhg Dato’ Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Piala disampaikan sendiri oleh Y.Bhg Dato’ KPPM yang telah sudi hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir seterusnya menutup kejohanan.

Secara keseluruhan, mutu permainan pemain di peringkat ini adalah baik. SMS Machang memang berada pada kelasnya yang tersendiri. 8 pemain sekolah ini adalah pemain negeri. Jurulatih pasukan ini, Ghazali Hamat, juga merupakan jurulatih hoki yang amat komited dan berpengalaman.

Untuk kejohanan peringkat kebangsaan ini, Sektor SBP telah membelanjakan sebanyak RM 55,000.00 menggunakan peruntukan pembangunan sukan yang diturunkan melalui Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan. Untuk kejohanan di kelima-lima Zon SBP sebelum ke peringkat kebangsaan, sebanyak RM 175,604.00 telah dibelanjakan. Oleh itu, jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk penganjuran kejohanan kali ini adalah RM 230,604.00.

Sektor SBP merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan kejohanan ini, khasnya kepada Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia, Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Persatuan Hoki Malaysia, Persatuan Alumni Sains Kedah, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kedah dan Kelab Hoki Melayu Kedah. Sekalung tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola kejohanan yang terdiri daripada semua warga SMS Sultan Mohamad Jiwa yang telah mengendalikan kejohanan ini dengan jayanya.

1 comment:

Aina Shahirah said...

yuhuuu!!
kem slm sme budak n0 8 tuh.
SYAFIQ!!