Wednesday, July 14, 2010

SMSSMJ: Pertandingan INTEL International Science and Engineering Fair (ISEF) 2010, San Jose, California, United States

Laporan Pertandingan INTEL International Science and Engineering Fair (ISEF) 2010, San Jose, California, United States.

Pada 9 hingga 17 Mei 2010, Pertandingan INTEL International Science and Engineering Fair (ISEF) telah berlangsung di San Jose, California, United States. Seramai 1611 orang peserta dari seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini berdasarkan 17 kategori yang dipertandingkan. Saya, Muhammad Adib bin Abas dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa telah mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut dengan membentangkan projek bertajuk “Fertility Booster, A New Hope For The Infertilities”. Malaysia turut menghantar pasukan daripada, MRSM Balik Pulau, MRSM Taiping dan Kolej Tunku Kurshiah.

Pada 7 Mei 2010, saya telah bertolak ke Kuala Lumpur dan semua peserta telah menginap di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur. Setibanya di sana, kami telah diberi taklimat oleh Pengurus INTEL Malaysia, Paul Otellini. Selepas itu, satu sesi temubual bersama media massa telah diadakan selama 15 minit. Setiap peserta turut membentangkan projek mereka sepanjang sesi bersama pegawai INTEL dan wartawan-wartawan daripada pihak media.

Keesokannya, pasukan inovasi dari Malaysia telah memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA menuju ke Singapura dan Hong Kong sebelum tiba di San Francisco International Airport. Perjalanan dari KLIA ke San Francisco memakan masa lebih kurang 16 jam. Setibanya di San Francisco pada jam 2215, kami telah disambut baik oleh pihak INTEL di sana sebelum menaiki bas yang telah disediakan ke San José, California yang mengambil masa selama 1 jam. Di San José, kami telah menginap di Hotel Fairmont. Saya bersyukur kerana selamat tiba di San José.

Pertandingan ini diadakan di San McEnery Convention Centre. Pada 9 Mei, sesi pendaftaran dan persiapan poster serta peralatan pameran bermula. Semua peserta perlu memastikan kesemua bahan, peralatan pameran dilabelkan dengan nama peserta, alamat dan nombor pendaftaran bagi kategori pertandingan. Pihak Scientific Review Committee (SRC) membuat penilaian awal mulai 9 Mei hingga 11 Mei 2010. Hal ini adalah untuk mendapatkan pengesahan ke pertandingan INTEL ISEF. Sekiranya projek itu tidak mendapat kelulusan ini, peserta tidak dibenarkan untuk bertanding.

Saya juga merasa gusar, takut sekiranya terdapat sebarang masalah pada projek yang dipertandingkan. Tapi setelah membuat beberapa pembetualan maklumat dan kenyataan, projek SMSSMJ telah mendapat kelulusan SRC. Para peserta akan dimaklumkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang masalah yang perlu dibaiki melalui emel untuk memastikan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh SRC. Penilaian oleh SRC masih dijalankan sungguhpun setiap projek sudah mendapat kelulusan daripada pihak SRC di Malaysia (terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti tempatan yang dilantik oleh SRC USA). Semasa penilaian, peserta tidak dibenarkan berada di kawasan pameran masing-masing. Walau bagaimanapun, peserta diberi peluang mengikuti simposium-simposium yang turut dianjurkan di sana.

Pada malam 9 Mei 2010 telah berlangsung majlis pembukaan INTEL ISEF dengan gilang gemilang. Setiap pasukan negara akan membuat video “Shout Out” untuk memperkenalkan negara masing-masing dengan melalui lukisan gambaran tentang negara masing-masing. Pertukaran pin sebagai tanda kenangan setiap pasukan juga diadakan. Di sini saya dapat berkenalan dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat dengan rakan-rakan dinegara lain.

Sesi penghakiman bermula pada 12 Mei 2010. Seramai 200 orang hakim menghakimi projek INTEL. Penghakiman mulai seawal 8 pagi hingga petang. Saya sendiri telah dihakimi oleh 10 orang hakim. Mereka merupakan pensyarah dan pakar dalam bidang masing-masing. Pada pandangan saya, para hakim memang menghargai segala projek yang disertai oleh para peserta. Mereka amat teruja supaya lapisan generasi muda berusaha bersungguh-sungguh, memupuk minat serta mempunyai daya saing yang tinggi dalam menimba ilmu pengetahuan agar individu yang holistik dapat dilahirkan.

Pada 13 Mei 2010, pameran dibuka kepada orang awam. Saya dapati budaya menimba ilmu amat tinggi dalam kalangan masyarakat di sini. Pengunjungnya adalah daripada segenap lapisan masyarakat. Bermula daripada orang awam, sektor swasta, pelajar sekolah dan university. Malah kanak-kanak daripada taman asuhan juga turut terlibat sama dalam pameran ini.

Antara kepentingan-kepentingan yang dapat diperoleh daripada pertandingan INTEL ISEF 2010 ini adalah untuk memastikan sesuatu ilmu itu dapat menjadi inspirasi dan membawa kepada perubahan yang lebih positif kepada masyarakat dunia amnya. Di samping itu, saya turut dapat belajar bagaimana kematangan diri, keyakinan diri dan mempunyai keberanian dalam berkomunikasi amat penting dalam melahirkan insan yang berjaya dan cemerlang. Justeru, nilai-nilai positif perlu diterapkan dan diamalkan dalam setiap individu untuk melahirkan masyarakat dan bangsa yang dihormati dan disegani.

Pada pertandingan INTEL ISEF 2010 ini, hanya wakil daripada Kolej Tunku Kurshiah dan MRSM Balik Pulau yang berjaya mendapat tempat dan anugerah. Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa tidak berpeluang untuk menduduki tiga tempat teratas mahupun menerima anugerah-anugerah yang dipertandingkan. Tetapi projek SMSSMJ masih terpilih untuk 10 projek ke peringkat akhir. Sungguhpun begitu, kita haruslah tidak mudah berputus asa dan perlu menanam azam yang tinggi di samping berusaha bersungguh-sungguh agar SMSSMJ dapat menempa nama dalam pertandingan bertaraf antarabangsa ini di masa hadapan. Insya Allah.

Akhir madah, ucapan terima kasih yang tidak terhingga ingin saya sampaikan kepada ayahanda pengetua, Tn. Hj. Rusdin Bin Husin, Pn. Hjh Marlina Bt Ahmad, pihak Universiti Sains Malaysia ( Pusat Pengajian Sains Farmasi), semua pihak pentadbiran, Pn Shariffah Huzaimah Syed Omar, En. Harris Ganae Nainar, Puan Zuraini Johari, Puan Noorsalawati Ahmad, Puan Noraini Mohd Ismail, Encik Teoh Hooi Eng, semua guru, rakan-rakan saya dan semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung atas sumbangan dan sokongan yang padu kepada saya dan pasukan inovasi SMSSMJ.

Sekian, terima kasih.

No comments: