Thursday, April 22, 2010

PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KEMANUSIAAN ASiS

















KEMBOJA - MISI KEMANUSIAAN ASiS DAN SSP BERJAYA


KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) telah berjaya sekali lagi. Mereka telah menjejakkan kaki mereka ke Jogjakarta, Perth dan juga Jepun. Kali ini mereka telah bekerjasama dengan Sekolah Seri Puteri (SSP) bagi menjayakan misi kemanusiaan ke Kemboja.
Program ini merupakan misi kemanusiaan yang kedua dianjurkan oleh ASiS pada peringkat antarabangsa. Pada tahun 2008, ASiS telah menghantar beberapa orang pelajarnya ke Jogjakarta bagi membantu mangsa gempa bumi yang ditimpa musibah. Program tersebut dikatakan telah dapat dijayakan dengan baik sekali.
Pada tahun 2010, ASiS sekali lagi menghantar sekumpulan pelajar ke Kemboja bagi membantu orang Islam yang miskin di sana. Pada asalnya program ini dijadualkan pada tahun lepas, namun terpaksa ditunda sehinggalah pada tahun ini . Hal ini kerana penularan wabak penyakit H1N1 yang melanda seluruh negara.Program tersebut kemudiannya dijalankan pada 16 Mac 2010 sehingga 22 Mac 2010.

Seramai 22 orang pelajar ASiS , 10 orang pelajar SSP yang diiringi oleh 6 orang guru terbabit dalam program tersebut. Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh mereka bagi mengumpul dana untuk dijadikan sumbangan kepada orang Islam yang miskin di Kemboja. Destinasi telah terlebih dahulu dipilih dengan bantuan mufti besar Kemboja, Ustaz Haji Musa bin Soleh. Sebanyak USD4000, pakaian, serta al-Quran telah disumbangkan kepada umat Islam di Pusat Islam Kemboja (Phnom Penh), Madrasah Al-Muttaqin (Kampung Chnnang) dan Kampung Trapiung (Tasik Tonle Sap). “Tujuan utama misi ini adakah untuk menanam benih tanggungjawab dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan seperti mereka di Kemboja di dalam diri setiap pelajar. Misi ini sejajar dengan visi ASiS iaitu Menzahirkan Pemimpin Bertaraf Dunia,“ ujar Tuan Haji Mohd Idrus bin Abdul Hamid, pengetua ASiS.
Pengarah projek misi kemanusiaan tersebut, Izzat bin Iskandar Thani, berkata “Saya tidak pernah terlibat dalam program sebegini. Program ini amat menyeronokkan dan segalanya amat bermakna. ” Sementara itu peserta lain misi tersebut, Muhammad Amar Bin Hasshim berkata bahawa program tersebut bukan seperti program lain yang pernah disertainya. Dia berkata misi tersebut mengajarnya banyak perkara untuk menjadi seorang insan yang lebih cemerlang. “Saya belajar banyak perkara dengan melibatkan diri dalam misi ini seperti disiplin diri, rasa ihsan dan empati serta kualiti sebenar seorang pemimpin bertaraf dunia”.
Seorang lagi peserta, Muhammad Syazwan bin Naseh berkata “Misi ini mengajar saya dan rakan-rakan seperjuangan bahawa masyarakat di dunia ini memerlukan kasih sayang dan penjagaan yang sebaiknya.”
Mereka juga telah mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan bersama penduduk Islam di Pusat Islam Kemboja. Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana kekurangan persediaan serta keletihan setelah penat menaiki bas merentas Kemboja, mereka tewas 5-3. Upacara penyampaian sumbangan telah diadakan pada malam hari tersebut di masjid dimana pengetua ASiS telah menghulurkan sumbangan sebanyak USD1000.00, al-Quran, serta beberapa kotak yang mengandungi pakaian untuk penduduk Islam di sana. Malam tersebut kemudiannya dihangatkan oleh persembahan Choral Speaking oleh pelajar SSP dan persembahan silat serta tarian zapin tradisional oleh pelajar ASiS.
Bergambar bersama CIC FC
Adegan yang sama turut berlaku di Madrasah an-Nikmah. Kali ini peserta meringankan tulang membantu para pelajar madrasah mengecat kelas serta memberikan sumbangan berbentuk wang, al-Quran, seekor lembu untuk disembelih, sebuah perigi serta pakaian. “Dana ini diharapkan dapat membantu pelajar dalam sistem pembelajaran mereka bagi mangembangkan syiar Islam di Kemboja,” kata Tn Hj Mohd Idrus.

Pemberian sumbangan oleh Tuan Haji Mohd. Idrus Pengetua ASiS kepada Ustaz Mohd. Abu Bakar Di Kampung Trapiung, para peserta membantu penduduk kampung mengecat masjid terapung yang sudah uzur agar kelihatan lebih baharu. Selepas memberi sumbangan, mereka mengambil peluang untuk beramah mesra bersama penduduk kampung sambil menikmati apa yang dikatakan ikan ketiga tersedap di Kemboja.

Bukan setakat misi kemanusiaan, para peserta juga mengambil peluang ini untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dalam melawat beberapa tempat bersejarah. Mereka melawat tempat di mana berlakunya insiden yang lebih kejam daripada pembunuhan beramai-ramai oleh Hitler. Tapak Pembunuhan di mana Pol Pot, seorang Jeneral Tentera yang mengarahkan tenteranya untuk membunuh hampir tiga per empat rakyat Kemboja tanpa sebab. Rombongan tersebut kemudiannya diteruskan ke S21, sebuah bangunan yang dahulunya sebuah sekolah awam namun telah ditukar menjadi penjara untuk menyeksa rakyat Kemboja. Kembara mereka tidak berakhir di situ apabila mereka diberi pelung untuk menjejakkan kaki ke salah satu daripada keajaiban dunia, Angkor Wat, kolam baray, serta menikmati pemandangan matahari terbenam di atas salah sebuah daripada kuil di Angkor Thom. Semoga diharapkan ASiS akan terus terbang ke langit untuk menjalankan misi kemanusiaan pada tahun-tahun akan datang.
Sekian.Terimakasih.

No comments: