Thursday, April 15, 2010

SEMESTA MENGEKALKAN KEJUARAANNYA DALAM PERTANDINGAN KRIKET SBP






Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub Pahang (SEMESTA) telah berjaya mengekalkan kejuaraan dalam Pertandingan Kriket Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merebut Piala Tan Sri Hamzah. SEMESTA telah mengalahkan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi Johor (SAKTI) dalam perlawanan akhir dengan 132 larian berbanding SAKTI mendapat 108 larian. SEMESTA telah membuat pukulan dahulu dan telah berjaya melakukan larian sebanyak 132 larian dalam 15 overs. SAKTI gagal untuk membuat larian melebihi SEMESTA, hanya 108 larian saja yang berjaya dilakukan OLEH sakti dalam 15 overs. Di peringkat separuh akhir, SEMESTA telah mengalahkan Sekolah Menengah Sains Johor, manakala SAKTI telah menewaskan tuan rumah iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah. Penentuan tempat ke tiga diantara tuan rumah dengan Sekolah Menengah Sains Johor telah berjaya dimenangi oleh Sekolah Menengah Sains Johor.

Pertandingan Kriket antara Sekolah Berasrama Penuh yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah Negeri Sembilan ini diadakan pada 8-11 April 2010. Pertandingan ini menemukan setiap johan dan naib johan zon. Sebelum pertandingan peringkat kebangsaan ini, telah diadakan pertandingan peringkat zon yang terbahagi kepada 5 zon. Zon utara diwakili oleh johan, Malay College Kuala Kangsar, dan naib johan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Zon tengah diwakili oleh johan, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya dan naib johan, SBPI Sabak Bernam. Zon timur pula diwakili oleh johan kebangsaan tahun lepas SEMESTA selaku johan zon dan Sekolah Menengah sains Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan Pahang. Zon selatan pula diwakili oleh johan SAKTI dan Sekolah Menengah Sains Johor. Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah layak secara automatik selaku tuan rumah ke peringkat kebangsaan. Manakala, Sekolah menengah Sains Sabah mewakili zon Sabah/Sarawak/ Labuan dalam pertandingan tersebut.

Dalam pertandingan ini juga pemain SEMESTA iaitu Noor Hafizuan Hadri telah menjadi pemain terbaik keseluruhan manakala Muhammad Abu Lais Mohd Radzi terpilih menjadi wicket keeper terbaik. Mohd Arif bin Mohd Amir dari SAKTI telah dipilih menjadi batsman terbaik keseluruhan. En. Noorhisham bin Mohd Noor, Penolong Pengarah, Unit Sukan dan Kokurikulum SBP , Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran menjelaskan bahawa, sukan kriket merupakan salah satu dari 5 sukan elit SBP. Selain kriket, SBP mempunyai 4 sukan elit yang lain iaitu, memanah, hoki, bola keranjang dan ragbi. Sukan-sukan ini dijadikan acara tahunan dalam kalendar sukan SBP. Untuk sukan kriket dan sukan hoki, diadakan kejohananan peringkat zon dulu tetapi sukan memanah dan ragbi terus diadakan kejohanan peringkat kebangsaan dan semua SBP diwajibkan untuk menghantar pasukan masing-masing.

Puan Hajah Norlia binti Mohd Shuhali, Timbalan Pengarah SBP, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran dalam ucapan perasmian berkata, melalui kejohanan sebegini, bukan sahaja pasukan-pasukan terbaik SBP dapat dikumpulkan, ianya juga diharap dapat menerapkan nilai-nilai kerjasama, semangat berpasukan, komitmen, keyakinan, ketabahan, disiplin, semangat juang dan strategis dikalangan warga SBP. Disamping itu melalui kejohanan sebegini, bakat atau talent seseorang itu akan dapat diketengahkan. Dalam kejohanan kriket pada kali ini kerajaan Negeri Sembilan telah bermurah hati menyumbangkan majlis makan malam. Upacara penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato’ Abdul Samad bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Seri Menanti.

No comments: