Thursday, April 15, 2010

SMAP KAJANG DAN SMS KUALA SELANGOR TERUS UNGGUL DALAM SUKAN MEMANAH






Pertandingan Memanah Sekolah Berasrama Penuh anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran yang melibatkan 59 buah Sekolah Berasrama Penuh seluruh negara telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlangnya. Pertandingan kali ke-5 bagi tahun 2010 ini telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor . Ianya melibatkan seramai 400 orang pelajar, guru dan pegawai SBP hadir dalam program tersebut.

Rata-rata pelajar SBP yang hadir dalam program tersebut berasa bangga dan gembira kerana dapat terpilih mewakili sekolah masing-masing dalam pertandingan ini. Mustakim bin Ramli, pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang sangat bangga dan berasa bertuah kerana dapat mewakili sekolah dalam pertandingan memanah SBP pada kali ini. Bagi beliau, peluang sebegini tidak akan dilepaskan begitu sahaja kerana inilah landasan yang tepat bagi beliau untuk terus mengasah bakatnya dalam sukan memanah. Cik gu Mukharita bin Shahrom guru dari Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor berpendapat, pertandingan memanah merupakan satu pertandingan yang sangat baik untuk dijadikan minat para pelajar SBP. Selain daripada ianya merupakan sunnah Rasulullah, sukan memanah juga dapat memupuk sifat ketelitian dan ketepatan dalam diri seseorang pelajar. En. Hamzani Suien, Ketua Unit Sukan dan Kokurikulum SBP , Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran menjelaskan bahawa, kejohanan ini adalah agenda tahunan SBP. Kejohanan ini penting demi meneruskan agenda SBP untuk melahirkan murid-murid yang berwibawa bukan sahaja dalam aspek kurikulum, malahan kokurikulum. Kejohanan memanah kali ini menawarkan 34 pingat bagi para pemenang termasuk dua piala pusingan yang menjadi rebutan iaitu Piala Pusingan Dato’ Salleh bin Mohd Husein untuk Johan keseluruhan lelaki dan Piala Pusingan Datin Hajah Hamizan binti Marsidi untuk johan keseluruhan perempuan.

Tuan Hj Mohd Kholil bin Mohammad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusian Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran dalam ucapan penutup berkata, melalui kejohanan sebegini, ketidakseimbangan prestasi murid SBP dalam bidang kurikulum dan kokurikulum dapat diatasi. Tanggapan pihak luar bahawa murid-murid lepasan SBP hanya ulat buku semata-mata dengan sendirinya lenyap kerana ramai pelajar lepasan SBP yang terbina kemahiran memanah dalam kejohanan anjuran SBP telah mewakili negeri dan institusi pengajian tinggi masing-masing. Ujar beliau juga, penganjuran kejohanan memanah seperti ini mampu mengatasi kelemahan dan keterbatasan komunikasi dalam kalangan murid dan guru SBP seterusnya mendorong kearah interaksi dan sosialisasi yang lebih mesra dalam kalangan murid dan guru dari sekolah-sekolah yang berlainan. Hal yang penting juga ialah aktiviti sebegini dapat memberi kesedaran kepada murid-murid mengenai potensi dan kebolehan diri dalam sukan memanah yang diceburi sekali gus mengisi keperluan merit 10 peratus markah yang diperuntukkan untuk kokurikulum bagi menyambung pelajaran ke institusi Pengajian Tinggi awam (IPTA).

Dalam kejohanan memanah pada kali ini Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang telah berjaya menjadi Johan keseluruhan untuk lelaki dengan membawa pulang piala pusingan Dato’ Salleh bin Mohd Husein manakala Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor telah menjadi johan keseluruhan perempuan untuk membawa pulang piala pusingan Datin Hajah Hamizan binti Marsidi.

No comments: