Saturday, May 08, 2010

KARNIVAL BAHASA PERANCIS SEKOLAH SERI PUTERI CYBERJAYA










Panitia Bahasa Perancis, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan ‘Karnival Bahasa Perancis’ pada Sabtu, 8 Mei 2010 bertempat di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Karnival ini diadakan untuk memberi ruang dan peluang kepada murid-murid SBP khususnya yang mengambil Bahasa Perancis bertukar-tukar ilmu dan pengetahuan, mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat Perancis, melahirkan minat terhadap pembelajaran Bahasa Perancis, meningkatkan semangat kerjasama antara murid-murid yang mengambil Bahasa Perancis serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi murid-murid dalam Bahasa Perancis melalui acara-acara pertandingan dan permainan.

Seramai 200 murid SBP (Zon Tengah) dan dua buah sekolah harian yang menawarkan Bahasa Perancis mengambil bahagian dimana setiap sekolah menghantar seramai 20 peserta. Antara sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Sek. Men. Agama Persekutuan Labu (Negeri Sembilan), Kolej Tunku Kurshiah (Seremban), Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban), Sekolah Menengah Convent (Kajang) dan Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti yang melibatkan murid-murid telah dianjurkan, antaranya Taklimat Pengenalan Ringkas Peluang Pembelajaran di IPT/IPTS yang disampaikan oleh wakil Malaysian French Institute, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA). Selain itu, pertandingan ‘Petanque’, ‘Amazing Race’ , 'Pertandingan Nyanyian' dan 'Spelling Bee'. Karnival Jualan dan Makanan diadakan bertempat di Dataran Kokurikulum untuk memberi ruang dan peluang kepada murid-murid melalui kelab dan persatuan masing-masing menambah dana kelab/persatuan melalui aktivti jualan makanan, minuman dan barangan lain. Cik Norazian Hasan, Penyelaras “Karnival Bahasa Perancis” berpuas hati dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh semua pihak untuk menjayakan karnival ini dan berharap karnival seumpama ini diteruskan untuk masa-masa akan datang.

No comments: