Tuesday, August 24, 2010

ASiS DI BUMI LONDON UNTUK MENERUSKAN PROGRAM PENGANTARABANGSAAN

Oxford University


Bersama Dato’ Rustam b Yahya,

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, London


Visi Sekolah Menengah Sains Alam Shah bagi menzahirkan pemimpin bertaraf dunia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dicapai terutamanya bagi sebuah sekolah setahun jagung. Hasrat Pengetua SM Sains Alam Shah, Tn Haji Mohd Idrus b Abd Hamid untuk melebarkan sayap ke rantau orang bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang lebih menumpukan untuk membangunkan modal insan yang holistik. Meskipun telah banyak menggiatkan diri dalam program-program pengantarabangsaan di rantau Asia dan Australia, Tuan Pengetua melihat program di London, United Kingdom sebagai satu program yang membolehkan para pelajar menimba ilmu, serta pengalaman terutamanya tentang tradisi dan budaya mereka yang telah lama bertapak di dunia selain membuka kotak minda para pelajar untuk melihat dari pelbagai perspektif yang berbeza.

Merujuk pada kadar inflasi dan kos sara hidup yang kian meningkat saban hari, faktor kewangan pada awalnya dilihat sebagai satu kekangan dalam menjayakan program yang berprestij ini. Sungguhpun menelan perbelanjaan yang melebihi seratus ribu ringgit, pihak pentadbir sekolah berjaya mengumpulkan dana yang secukupnya untuk membiayai program ini. Pn Rihaya bt Abu Kasim yakni Penyelaras Projek di samping guru-guru pengiring yang lain membanting tulang demi memastikan segala persiapan di London berjalan lancar.

Setelah menyusun segala perancangan dengan baik tibalah masanya delegasi ASiS untuk menjelajahi bumi United Kingdom. Penerbangan Air Asia dari LCCT ke Lapangan Terbang Antarabangsa Stansted mengambil masa 12 jam sehala. Setibanya di sana, delegasi ASiS telah dibantu oleh pasangan Rohana dan John Herbert yang bertanggungjawab memastikan susun atur program di London berjalan lancar. So Quartier Apartments merupakan destinasi pertama yang menjadi tempat penginapan kami selama 6 hari 5 malam. Kami telah diberikan layanan yang cukup istimewa setibanya di sana.

Kunjungan pertama delegasi ini adalah ke Kew Gardens. Destinasi yang menggamit kedatangan pengunjung ini merupakan taman yang sangat istimewa yang wujuk sejak keluarga diraja Victoria lagi. Pengunjung juga pastinya akan terpegun dengan saiz taman yang terbentang luas. Taman ini wujud atas minat Queen Victoria terhadap tumbuh-tumbuhan. Oleh hal yang demikian, pelbagai spesis tumbuhan telah dibawa masuk dari seluruh pelusuk dunia termasuklah tumbuhan dari Hutan Hujan Tropika yang merupakan aset negara Malaysia sejak ratusan tahun dahulu. Delegasi ASiS telah menunjukkan minat yang mendalam kerana dapat meneroka ilmu dan perjalanan yang sangat berharga kerana sebelum ini pembelajaran hanya dapat dilakukan malalui alat elektronik dan bahan bacaan. Namun, delegasi ASiS terutamanya para pelajar berasa sangat bertuah kerana dapat melihat dengan mata sendiri akan aset yang tiada tolok bandingnya di bumi ini.

Kunjungan delegasi ASiS selanjutnya adalah ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London yang terletak berdekatan dengan Pejabat Perdana Menteri Britain di Downing Street. Kami disambut dengan begitu ramah sekali oleh staf di kedutaan tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom iaitu Dato’ Rustam bin Yahya. Setelah ditempatkan di dalam bilik persidangan yang cukup indah dihias dengan lukisan-lukisan dari zaman penjajah lagi, kami mendengar ucapan alu-aluan dan selamat datang oleh Dato’Rustam bin Yahya dan diberi penerangan yang ringkas mengenai tugasnya serta hal ehwal penduduk Malaysia yang beremigrasi ke United Kingdom. Pelajar ASiS sekali mempamerkan ketrampilan mereka dalam berinteraksi mengenai isu yang menjangkau ilmu bilik darjah dengan mengemukakan soalan-soalan kepada YB Dato’ tentang isu ‘brain drain’, pelaburan negara di United Kingdom dan status serta kejayaan pasukan F1 Lotus Negara. Setelah hampir dua jam, kami dihidangkan dengan sedikit jamuan ringan dan kemudiannya beralih kepada sesi penggambaran bersama Dato’ Rustam. Tidak dapat dinafikan tiga jam yang diluangkan bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom sangat berharga dan telah memberi input yang berkesan kepada delegasi ASiS.

Kunjungan delegasi ASiS ini seterusnya ialah University Oxford, iaitu antara universiti yang terbaik di dunia dan tersohor dalam bidang ‘literature’. Delegasi ini telah dibawa ke beberapa kolej yang dikagumi ramai seperti Kolej Christchurch. Universiti ini turut mengeluarkan ramai individu yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti Sir Rowan Atkinson, atau lebih dikenali sebagai Mr Bean, Lewis Caroll, JRR Tolkien dan ramai lagi. Agak mengejutkan apabila diberitahu oleh jurupandu rasmi Universiti Oxford bahawa Malaysia merupakan Negara ke-8 di dunia dari segi jumlah pelajar di university tersebut dengan jumlah 124 pelajar. Terdetik rasa banga menjadi anak watan Malaysia dan terbisik slogan “Malaysia Boleh” jauh dalam sanubari setiap pelajar ASiS. Delegasi ini turut berasa kagum dengan seni bina infrastuktur yang bercirikan Roman dan Victoria pada masa lampau. Keseragaman binaan di sekitar universiti ini menimbulkan rasa nyaman kepada pelajar dan pengunjung. Kami teruja apabila diberitahu beberapa buah bangunan dan laman di Universiti Oxford telah dipilih menjadi lokasi dalam pembikinan filem Harry Porter – The Goblet of Fire dan memang tidak dapat dinafikan, kemana sahaja kamera diacukan, hasilnya amat berseni dan indah sekali. Persekitaran yang aman, selesa dan kondusif untuk pembelajaran telah menggamit setiap pelajar untuk berusaha dengan gigih supaya dapat menggapai kecemerlangan dalam hidup.

Stratford-upon-Avon merupakan destinasi ketiga yang dijelajahi oleh perwakilan ASiS. Kampung halaman William Shakespeare ini banyak menarik pelancong dari seluruh pelusuk dunia dan telah lama tersohor sebagai sebuah destinasi bersejarah. Perwakilan ASiS telah berkunjung ke Royal Shakespeare Company (RSC) yang merupakan sebuah syarikat berteraskan hasil karya seni William Shakespeare yang agung dan berharga hingga ke hari ini. Para pelajar ASiS telah didedahkan dengan sesi pengajaran sastera menggunakan cerita Macbeth sebagai modul pembelajaran. Walaupun berbekalkan waktu yang singkat, para pelajar dengan bersungguh-sungguh cuba mendalami watak masing-masing. Setelah hampir 2 jam, pelajar ASiS mempamerkan bakat dalam seni pementasan apabila berjaya menghasilkan beberapa babak lakonan teater yang cukup mantap dan menarik. Menyedari pentingnya keseimbangan ilmu dari semua aspek, para pelajar yakin bahawa ilmu seni pementasan ini dapat digunakan suatu hari nanti kerana Pengetua sendiri sering mengingatkan para pelajar ilmu itu tidak terbatas di dalam kerangka bilik darjah sahaja.

Selepas sesi bengkel di RSC, delegasi ASiS telah berkesempatan melawat teratak yang dahulunya pernah menjadi kediaman penulis agung itu. Struktur rumah dan persekitarannya masih dijaga rapi dan kemas. Kami terpegun melihat bagaimana orang Inggeris dapat memelihara khazanah milik bangsa mereka.

Sepanjang enam hari di sana, kami juga sempat melawat Westminster iaitu kawasan terletaknya Big Ben dan Parliament Square. Kami berpeluang menikmati keindahan Kota London sewaktu menaiki Eye of London diwaktu malam. Penjelajahan delegasi ASiS di sekitar Kota London telah dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan sistem kereta api bawah tanah, atau tube. Antara tarikan pusat beli-belah di London ialah Oxford Street yang menempatkan kedai-kedai berjenama untuk menarik golongan berpendapatan tinggi. Namun begitu, sekiranya pandai mencari, sesiapa juga akan mampu membeli barangan impian yang harganya lebih murah daripada harga yang dijual di Malaysia sendiri. Padanlah ramai yang menunggu musim jualan murah di kota pusat beli-belah ini.

Di samping itu, para pelajar ASiS berasa terharu apabila bekas pelajar ASiS yang melanjutkan pelajaran di sekitar United Kingdom dalam pelbagai cabang ilmu sanggup meluangkan masa untuk bertemu dengan delegasi ASiS di Westfield Mall. Tertanam semangat di hati kami untuk mengikut jejak langkah mereka, dan sama-sama melanjutkan pelajaran di luar Negara.

Akhirul kalam, delegasi ASiS pulang ke tanah air dengan penuh rasa bersyukur kerana telah megunjungi sebuah tempat yang penuh bersejarah. Setelah enam hari dan lima malam di London, kami pulang berbekalkan ilmu serta pengalaman yang baru. Program ini secara konklusifnya membuka minda para pelajar serta mendidik mereka manjadi modal insan yang cemerlang daripada semua aspek selari dengan visi ASiS iaitu menzahirkan pemimpin bertaraf dunia. Semoga segala yang dipelajari oleh delegasi ASiS ini dapat disampaikan kepada yang lain dan dapat menjadi batu loncatan dalam menyemarakkan lagi semangat pelajar ASiS untuk menghadapi peperiksaan SPM kelak dan seterusnya menempa kejayaan yang cemerlang.

No comments: