Tuesday, August 17, 2010

HARI KOKURIKULUM TAHUN 2010 SEKOLAH MENENGAH SAINS SULTAN MOHAMAD JIWA


Tanggal 14 Julai hingga 15 Julai 2010, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SMSSMJ) telah mengadakan Hari Kokurikulum bagi tahun 2010. Hari Kokurikulum tersebut telah berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan sekolah dan ahli-ahli jawatankuasa.


SMSSMJ mempunyai 8 pertubuhan atau pasukan unit beruniform dan 12 persatuan atau kelab akademik. Semua pelajar diwajibkan menganggotai salah satu pertubuhan atau pasukan pilihan masing-masing dan satu persatuan atau kelab akademik. Selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, semua pelajar mesti mempunyai keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum serta menguasai kemahiran-kemahiran tertentu termasuk kepimpinan, pengurusan pertubuhan, keyakinan diri dan kebolehan membuat keputusan, keberanian mengambil risiko, berdaya saing, berketrampilan dan kebolehan melaksana tugas dengan penuh rasa tanggungjwab. Hari Kokurikulum merupakan kemuncak di mana semua pelajar dapat membuktikan penampilan diri dan mutu kepimpinan mereka serta kebolehan masing-masing.


Objektif diadakan Hari Kokurikulum adalah untuk mempertingkatkan kebolehan dan minat pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan ketahanan fizikal, mental, emosi dan rohani serta keyakinan diri pelajar. Pelajar diberikan ruang untuk bersaing, bekerjasama, bertanggungjwab dan melahirkan ‘Esprit de Corp’ sesama mereka. Bakat di kalangan pelajar terutama bakat baru dicungkil dan digilap melalui aktiviti yang dijalankan.


Di antara acara yang telah dipertandingkan ialah memancing, berkayak, scrabble, pertolongan cemas, menghias papan kenyataan, golek kong, penjilidan bahan ilmiah, azan, hafazan, pukul bantal dalam air, imlak jawi, menyampaikan khutbah, language game, eksplorasi Sains, sumpitan, melastik, membuat rakit darat, river crossing, survival, sembelihan dan memasak.


Yang Berusaha Encik Mohd Radzi bin Mohd Noor, Yang DiPertua PIBG Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa telah berbesar hati menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan merasmikan Majlis Penutup Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa bagi tahun 2010.



No comments: